Pelajar dapat akses maklumat, kajian dua minggu lagi - PM

Hasimi Muhamad
Mei 10, 2024 12:38 MYT
Akses tersebut diberikan melalui perkomputeran awan dan dikoordinasikan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bakal mendapat akses kepada pelbagai maklumat dan kajian sedia ada di peringkat kementerian serta agensi kerajaan dalam tempoh dua minggu lagi sebagai usaha memperkasakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata akses tersebut diberikan melalui perkomputeran awan dan dikoordinasikan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
“Supaya kita tahu secara tepat kalau kita nak pinjaman ini… kalau kita nak maklumat begini ini… Ia format risalah mudah yang kita akan sampaikan.
“Bagi kita (masa) dua minggu dan semua universiti akan terima. Ia akan dikoordinasikan Chang Lih Kang (Menteri MOSTI) untuk menyiapkan semua badan kajian yang terlibat antara kementerian dan akan disampaikan kepada semua universiti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sesi Temu Anwar sempena Majlis Malaysia Artificial Intelligence (AI) Nexus 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, ditanya sekiranya kerajaan akan memberikan insentif kepada mahasiswa yang melanjutkan pelajaran dalam bidang AI, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan menyediakan kemudahan latihan terbaik dengan elaun sedia ada dikekalkan berdasarkan prestasi semasa mereka.
#Anwar Ibrahim #akses #maklumat #AI #IPT
;