Pelajar dakwa tertekan peraturan "tak masuk akal" institusi awam kekang penularan COVID-19
Astro Awani
Disember 9, 2021 15:27 MYT
Disember 9, 2021 15:27 MYT
MELAKA: Sekumpulan bakal pendidik di sebuah institusi pendidikan awam di Masjid Tanah, Melaka mendakwa tidak berpuas hati dengan peraturan tidak munasabah yang ditetapkan pihak pengurusan kampus tersebut dalam mengekang penularan pandemik COVID-19.
Dakwa seorang daripada pelajar di kampus tersebut di media sosial, pihak pengurusan institusi itu telah mengeluarkan larangan bagi mengekang pelajar membuat tempahan makanan dalam talian melainkan tempahan di restoran makanan segera.
Pelajar di maktab berkenaan turut mendakwa ibu bapa yang berhasrat menghantar makanan kepada anak-anak di situ juga dilarang berbuat demikian, atas alasan bimbang berlakunya jangkitan COVID-19 ke dalam kampus.
“Kami faham dengan situasi pandemik yang melanda ketika ini, namun langkah pencegahan harus diambil dengan teliti tetapi tindakan pihak pengurusan ini membebankan kami.
“Pilihan yang diberikan pihak pengurusan tidak munasabah untuk kami yang masih bergelar pelajar, misalnya, hanya membenarkan tempahan makanan dalam talian untuk makanan segera dan semua sedia maklum bukan semua berkemampuan untuk membeli makanan restoran makanan segera.
“Pihak pengurusan juga tidak membenarkan ibu bapa untuk menghantar makanan ke sini, atas alasan menggelakkan berlakunya jangkitan COVID-19,” kata pelajar yang tidak mahu identitinya didedahkan untuk siaran ini.
Dakwa pelajar itu lagi, pilihan yang ditawarkan pihak pengurusan kampus itu kepada semua pelajar di situ adalah membeli makanan di kafeteria yang disediakan.
Bagaimanapun katanya, harga makanan yang dijual di kafeteria tersebut agak mahal malah tidak setimpal dengan kuantitinya yang sangat sedikit.
Dalam pada itu, seorang lagi pelajar di institusi yang sama mendedahkan, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Jawatan Perwakilan Pelajar (JPP) untuk dibawakan kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar.
Namun, sehingga hari ini tiada sebarang tindakan lanjut diambil.
Situasi yang melanda institusi tersebut telah mendapat perhatian umum selepas seorang pengguna Twitter yang dikenali sebagai Pedoqpop" membuat ciapan berhubung isu yang disuarakan oleh para pelajar di kampus tersebut.
Setakat ini, ciapan yang mendapat perhatian netizen itu memperoleh 2,907 tanda suka dan 3,343 berkongsi semula status tersebut di akaun media sosial masing-masing sehingga tengah hari Khamis.
Dalam perkembangan sama, kemudahan asas yang terdapat di institusi tersebut juga uzur tanpa sebarang pembaikan bagi kegunaan para pelajar.
“Kami harap sangat dua perkara ini mendapat perhatian pihak bertanggungjawab terutamanya Kementerian Pendidikan dan kami harap tiada mana-mana pihak yang salah anggap dengan aduan kami ini,” tambahnya.
Sementara itu, pihak pengurusan institusi tersebut ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis berkata, pihaknya enggan mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi dan akan membuat laporan ke peringkat pusat terlebih dahulu.
Dalam masa sama, usaha mendapatkan reaksi daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia juga sedang dilakukan hingga kini.