Pelajar dakwa dipukul guru displin sebenarnya hanya diluku - PIBG

Adie Sufian Zulkefli
Februari 19, 2017 19:15 MYT
Mohd Najib menunjukkan laporan berita mengenai seorang pelajar tingkatan empat sekolah itu yang didakwa dicekik, ditumbuk dan ditendang di hadapan sekolahnya oleh guru disiplin. - Foto Bernama
Selepas 11 hari, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Dato' Syed Omar, Alor Setar, Kedah, hari ini, tampil menafikan kejadian seorang pelajar tingkatan empat sekolah itu dibelasah teruk oleh guru disiplinnya.
Yang DiPertuanya, Mohd Najib Zainal berkata, hasil siasatan mendapati berlaku percanggahan dalam laporan polis yang dibuat oleh bapa pelajar terbabit pada 8 Februari lepas berbanding pengakuan yang dibuat pelajar itu sendiri pada mesyuarat pemuafakatan PIBG sekolah ketika sesi perdamaian pada minggu lepas.
Laporan polis oleh bapa pelajar, Naharudin Aizan, 38, mendakwa anaknya dicekik dan ditumbuk di belakang kepala, muka, bahu serta disepak di kaki oleh guru disiplin terbabit.
Mohd Najib berkata, pelajar terbabit dalam mesyuarat itu mengakui kepalanya diketuk menggunakan sendi jari tangan tanpa mendatangkan kecederaan disamping leher bajunya ditarik oleh guru terbabit.
Guru disiplin itu turut mengakui berbuat demikian setelah mendapati pelajar terbabit, Nahar Danial Aiman Naharudin, 16, bertindak kasar terhadapnya apabila disoal mengenai kelewatannya datang ke sekolah di samping tidak berpakaian kemas ketika masuk ke kawasan sekolah.
“Kita dapat juga cerita daripada anak dia dan cikgu yang terlibat dan selepas kita mendengar daripada semua pihak kita dapat kesimpulan iaitu anak dia telah mencerita yang sebenar dimana cerita tu bercanggah daripada cerita asal dimana budak tu tidak pun dicekik ditendang ataupun ditumbuk tapi mengakui cikgu tu telah menyentuh dia itu dikatakan luku ataupun sekeh jadi kemudian cikgu tu cekak baju dia dan selain daripada itu tak ada apa yang berlaku kesilapan macam kata ditumbuk ditendang dan sebagainya,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.
Pada mesyuarat itu, keterangan serta penjelasan daripada pelajar, bapa pelajar, guru displin dan pihak berkaitan turut diambil untuk mencari penyelesaian.
Malangnya, beliau berkata, bapa pelajar terbabit masih tidak berpuas hati dan akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap pihak sekolah.
Kata Mohd Najib, pihaknya menghormati pendirian waris pelajar itu, namun apa yang dilakukan itu tidak menjamin sebarang penyelesaian.
Beliau mengadakan sidang media itu, bagi membersihkan nama sekolah, profesion perguruan yang bertindak dengan sewajarnya bagi menangani kes-kes disiplin pelajar.
Mesyuarat pemuafakatan itu berlangsung dalam suasana harmoni di bilik mesyuarat sekolah dengan dihadiri oleh pelajar terbabit bersama ibu bapanya, seorang wakil Kementerian Pendidikan, tiga wakil Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, pengetua sekolah, guru displin sekolah, dua pegawai polis dan Yang DiPertua PIBG sekolah.
Dalam laporan Astro AWANI pada 8 Februari lepas, seorang pelajar lelaki tingkatan empat sebuah sekolah menengah di Alor Setar mendakwa dibelasah oleh seorang guru disiplin di sekolahnya atas kesalahan tidak berpakaian kemas ketika ke sekolah pada sesi pagi.
Pelajar berumur 16 tahun itu mendakwa dia ditumbuk di belakang kepala, muka, dan disepak di kaki di hadapan pintu pagar sekolah, pada pukul 7.40 pagi kerana tidak memasukkan baju ke dalam seluar.
Selain itu, mangsa mendakwa, lehernya juga dicekak sebelum guru disiplin terbabit mengeluarkan kata-kata ugutan.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin dalam pesanan ringkasnya memaklumkan siasatan masih dijalankan mengikut seksen 323 dan hasil siasatan akan di maklumkan sedikit masa lagi.
#dipukul cikgu #guru disiplin #pelajar dipukul diliku #Sekolah Menengah Dato' Syed Omar
;