Pelajar dakwa dibelasah senior sekolah agama di Pendang

Astro Awani
April 20, 2015 09:48 MYT
Seorang pelajar Tingkatan Satu mendakwa dipukul 15 pelajar senior di sebuah sekolah agama di Pokok Tai, Pendang semalam. -Gambar hiasan
Akibat mengambil wang yang dijumpainya di kantin sekolah, seorang pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah maahad tahfiz di Pokok Tai, Pendang, Kedah dipukul hingga lebam seluruh badan oleh sekumpulan pelajar senior.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ammar berkata kejadian berlaku dua hari lalu selepas dia mengambil duit sebanyak RM60 di dalam dompet yang dijumpainya di kantin sekolah selepas selesai bermain bola kira-kira jam 6 petang.
Namun, mangsa tidak sempat memberikan wang tersebut kepada pihak sekolah dan bercadang melakukannya keesokan hari.
Bagaimanapun, pada malam tersebut, mangsa yang tidur di asrama didatangi sekumpulan 15 pelajar tingkatan empat dan lima kira-kira jam 12 malam dan bertanyakan tentang wang tersebut.
Mangsa mengaku ada menemui dan mengambil dompet serta wang tersebut namun belum sempat mengembalikannya.
Ekoran itu, mangsa terus ditampar di muka dan ditendang di bahagian dada sehingga tersungkur.
Tidak cukup dengan itu, mangsa dipukul, dibakar rambut dan dibotakkan kepala selain dipijak oleh pelajar senior itu sehingga hampir sejam.
Walaupun merayu agar tidak diperlakukan demikian, pelajar senior itu tetap meneruskan memukulnya di seluruh badan termasuk dengan menggunakan tuala.
Pelajar-pelajar lain yang berada di bilik itu tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya mampu melihat mangsa dipukul.
Mangsa juga diberi amaran agar tidak memaklumkan kejadian itu kepada sesiapa sebelum kumpulan itu beredar.
Akibat kejadian itu, Ammar mengalami lebam di seluruh badan termasuk di bahagian belakang, paha dan mata selain sakit pada bahagian dada dan belakang.
Menurut Ammar, kejadian itu hanya disedari oleh bapanya yang melihat perubahan pada anaknya yang kemudian berkunjung di maahad tersebut.
Namun seorang guru telah memaklumkan bahawa anaknya itu dibuli oleh sekumpulan pelajar senior sehingga mengalami kecederaan di bahagian badan.
Ammar kemudian dibawa ke Hospital Yan untuk pemeriksaan sebelum bapanya membuat laporan polis di Balai Polis Pendang.
Ammar bertekad tidak mahu lagi bersekolah di situ dan masih trauma dengan kejadian tersebut.
“Bahagian tulang belakang dengan paha macam nak sembahyang pun kena duduk atas kerusi, tidur baring pun sakit di bahagian dada.
“Dia tendang bahagian dada, lepas tu dia ketuk kepala dengan telefon bimbit. Waktu kejadian, lebam tu besar juga di sini,” kata Ammar.
Menurut bapa saudara mangsa, Zahari Haris, beliau tidak menyangka kes buli masih berlaku dan terjadi pula kepada anak saudaranya.
Beliau kecewa kerana sepatutnya kes seperti ini tidak terjadi di sekolah agama yang mengajar tentang akhlak Islam.
Menurutnya, pelajar senior terbabit tidak sepatutnya bertindak sedemikian kerana tindakan itu boleh mengancam nyawa dan menyebabkan berlaku kecacatan pada anggota badan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Abdul Aziz Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan sedang dijalankan.
#buli #pelajar senior #Pendang #pokok tai #sekolah agama
;