Pelajar cemerlang lari dari rumah
Sinar Harian
Julai 2, 2019 17:07 MYT
Julai 2, 2019 17:07 MYT
Seorang pelajar cemerlang sebuah sekolah berasrama di sini menghilangkan diri dari rumah keluarganya di Pekan Kuala Selangor pagi tadi.
Kehilangan Ahmad Fitri Mohammad Shaffie, 15, disedari ibunya, Mardiana Ismail, 58, ketika ingin menunaikan solat Subuh kira-kira jam 6.30 pagi.
Mardiana berkata, kali terakhir dia melihat Ahmad Fitri kira-kira jam 2 pagi tadi ketika anak bongsu daripada lima beradik itu sedang menjamah makanan.
"Bagaimanapun, selepas saya terjaga daripada tidur untuk bersiap-siap menghantarnya ke sekolah, saya tak nampak kelibat Ahmad tidur di ruang tamu rumah," katanya.
Mardiana memberitahu, dia kemudiannya mencari Ahmad Fitri sekitar rumah sebelum menemui nota tulisan tangan anaknya itu atas meja solek.
"Dalam nota itu, dia meminta saya sekeluarga tidak mencarinya kerana sebaik saya membaca tulisan ini dia (Ahmad) dah tak ada di dunia ini," katanya.
Katanya, dia dan suaminya, Mohammad Shaffie Hasan, 58, membawa Ahmad Fitri pulang ke rumah selepas menandatangani laporan prestasi di sekolah anaknya, Jumaat lalu.
"Sepatutnya saya menghantarnya ke asrama kelmarin (Ahad), tapi dia beri pelbagai alasan hingga menghilangkan diri," katanya.
Menurutnya, anaknya itu dipercayai menghilangkan diri sehelai sepinggang dan tidak membawa telefon bimbit.
"Saya berusaha mencarinya di sekitar Klang selepas pemandu bas memaklumkan ternampak remaja mirip anak saya menaiki bas menuju ke sana," katanya.
Sehubungan itu Mardiana membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Selangor pada jam 8.30 pagi tadi.
Orang ramai yang melihat Ahmad Fitri atau mempunyai maklumat mengenainya diminta menghubungi Mardiana di talian 019-3811743 atau 013-2828390.