Pelajar bimbang tidak dapat biasiswa, dapat perhatian PM
Bernama
November 28, 2024 06:45 MYT
November 28, 2024 06:45 MYT
PUTRAJAYA: Kebimbangan seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berasal dari Sabah mengenai kemungkinan dia tidak akan menerima biasiswa kerana ibunya belum mendapat taraf pemastautin tetap (PR), mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kebimbangan itu telah disuarakan Stephanie Juditha Sebastian ketika sesi dialog bersama Perdana Menteri pada Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, pada Khamis.
Stephanie berkata, walaupun dilahir dan dibesarkan di Sabah, ibunya sehingga kini masih belum mendapat kewarganegaraan Malaysia dan walaupun pelbagai usaha telah dilakukan sejak 1990, ia masih belum membuahkan sebarang hasil.
"Isu kewarganegaraan adalah famous di Sabah. (Contohnya), ibu saya dilahirkan dan dibesarkan di Sabah tetapi sehingga kini dia masih belum mendapat PR. Ini sangat merisaukan saya kerana untuk memohon biasiswa (antara syarat) kedua-dua ibubapa kena ada kewarganegaraan," katanya.
Beliau juga memaklumkan pernah menyuarakan isu itu kepada Menteri Dalam Negeri tahun lepas, tetapi sehingga kini tiada sebarang maklum balas.
Anwar kemudian meminta pelajar itu untuk menyerahkan surat rasmi berserta dokumen lengkap kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, untuk tindakan lanjut.
Ahmad Zahid yang juga hadir pada sesi dialog itu, kemudiannya meminta pelajar berkenaan menyerahkan surat tersebut terus kepadanya.
"Bagi surat pada uncle, biar uncle selesaikan," katanya. -
BERNAMA