Pelajar antarabangsa UIAM dakwa lebih lima bulan lewat terima visa

Hasimi Muhamad
Julai 18, 2022 09:45 MYT
Abdurahman Baaqeel (gambar) berkata isu tersebut berlaku dipercayai kerana masalah komunikasi antara Bahagian Unit Visa UIAM dan Jabatan Imigresen Malaysia. - Foto/Abdurahman
GOMBAK: Lebih 300 pelajar antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mendakwa sudah lebih lima bulan berdepan kelewatan menerima visa, menyebabkan mereka tidak dapat melakukan perjalanan atau pulang ke negara masing-masing.
Kebanyakan pelajar yang dipercayai dari Timur Tengah, Afrika dan beberapa negara Asia, termasuk Singapura dan Thailand, cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan, bagaimanapun masih menemui jalan buntu.
Menurut bekas Exco Hal Ehwal Antarabangsa Kesatuan Mahasiswa UIAM, Abdurahman Baaqeel, isu tersebut berlaku dipercayai kerana masalah komunikasi antara Bahagian Unit Visa UIAM dan Jabatan Imigresen Malaysia.
"Banyak perjumpaan dan perbincangan (telah diadakan) dengan Bahagian Unit Visa UIAM dan pengurusan atasan tetapi sehingga kini tiada tindakan diambil.
"Disebabkan itu, terdapat para pelajar yang mengadu di media sosial. Dan ini anda tidak boleh kawal, apabila mereka berdepan kekecewaan, kerana isu visa ini sangat penting.
"Selain itu, perjumpaan turut diadakan sejak dua minggu lalu oleh Bahagian Unit Visa. Mereka ada membangkitkan perkara ini dan sedang berbincang dengan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pihak berkaitan lain dalam Jabatan Imigresen.
"Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang pengumuman jelas dibuat oleh mereka," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Pelajar Antarabangsa | Lebih 300 didakwa berdepan kelewatan terima visa
Mengulas mengenai dakwaan bahawa terdapat pelajar yang diugut oleh pegawai di Bahagian Unit Visa, Abdurahman bagaimanapun enggan memperbesarkan perkara tersebut.
Sebaliknya dia menegaskan 'layanan berkenaan' tidak mencerminkan secara keseluruhan sikap yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia dan pegawai di unit berkenaan.
"Maksud saya, kami telah berada di sini lebih daripada lima tahun, dan kami berada dalam keadaan yang sangat baik dan semuanya berjalan lancar.
"Tetapi saya percaya ini adalah masa yang sangat sukar untuk pelajar antarabangsa dan UIAM, dan kami mengharapkan penambahbaikan dalam perkhidmatan pelanggan di Bahagian Unit Visa UIAM," tambahnya.
Dalam masa yang sama, Abdurahman turut menafikan dakwaan bahawa pelajar-pelajar terbabit akan mengadakan demonstrasi sekiranya isu berkenaan tidak dapat diselesaikan segera.
Sementara itu, seorang pelajar jurusan undang-undang yang enggan dikenali turut mengesahkan perkara sama.
Dia mendakwa, antara alasan yang diberikan adalah bahagian visa berkenaan berdepan isu teknikal dan kekurangan kakitangan sehingga menyebabkan kelewatan pemprosesan visa para pelajar.
"Tetapi (setakat ini) tidak diketahui apa sebenarnya yang berlaku kerana tiada sebarang kenyataan oleh Bahagian Unit Visa berhubung situasi sekarang," ujarnya.
Astro AWANI sedang mendapatkan penjelasan daripada pihak UIAM dan/atau KPT berhubung perkara ini.
#Kelewatan visa pelajar UIAM #Bahagian Unit Visa UIAM #jabatan imigresen #pelajar antarabangsa UIAM
;