Pelajar antarabangsa sambut Krismas mengikut cara Malaysia

Bernama
Disember 25, 2015 23:02 MYT
Penganut Kristian mengadakan upacara keagamaan pada malam sambutan Hari Natal ketika tinjauan fotoBERNAMA di St. John's Chathedral malam tadi. - Gambar Bernama
Bagi pelajar asing, tinggal dan menuntut di negara lain dipenuhi dengan pengalaman baharu dan keterujaan.
Namun apa perasaan mereka tatkala berada jauh dari kampung halaman semasa sambutan Krismas.
Bagi Emmanuel Olalere, 22, pelajar tahun tiga HELP University, walaupun beliau telah dua kali menyambut Krismas di Malaysia, kecanggihan teknologi membolehkannya meraikan Krismas bersama-sama keluarga kerana dapat berhubung dengan keluarganya pada bila-bila masa.
"Walaupun saya berjauhan dengan keluarga saya di Nigeria, saya tidak berasa sunyi menyambut Krismas di sini. Kini lebih mudah untuk berhubung dengan orang tersayang dengan adanya kemudahan teknologi. Jadi dengan cara ini, saya dapat merasai pengalaman dan menyambut Krismas dalam suasana yang berbeza.
"Pagi tadi, saya berkesempatan mengucapkan selamat menyambut Krismas kepada keluarga saya, tetapi tentulah saya rindu kepada kampung halaman kerana biasanya saya menyambut Krismas bersama-sama keluarga.
Tetapi saya bercadang untuk menemui rakan-rakan kemudian untuk majlis makan malam Krismas.
"Ia bukanlah majlis makan malam biasa semasa Krismas dengan hidangan seperti ayam panggang dan kentang lecek. Saya akan menikmati makanan tempatan kerana tidak akan berpeluang untuk menikmatinya apabila balik ke negara saya," kata Emmanuel kepada Bernama, hari ini.
Emmanuel, yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa berkata beliau masih dapat merasai suasana Krismas di Malaysia walaupun ia tidak semestinya Krismas diselubungi salji yang menjadi kebiasaan bagi dirinya.
"Di sini, di Kuala Lumpur, anda masih boleh merasai suasana perayaan, kerana jika bersiar-siar di pusat beli-belah dan kawasan awam yang lain, anda pasti akan melihat replika pokok Krismas yang dihias indah di samping alunan lagu-lagu Krismas.
Dan apabila anda melangkah keluar, anda akan bersua dengan orang ramai yang memberi ucapan sempena perayaan tersebut," katanya.
Bagi Natasha Ebdale, 21, menyambut Krismas di negara asing memberinya peluang untuk mengembara di dalam negara.
Pelajar tahun kedua jurusan Komunikasi Massa di INTI International College itu berkata ia adalah masa terbaik untuk bersiar-siar dan melawat ke tempat-tempat yang beliau tidak pernah bermimpi untuk melihatnya.
"Sambutan Krismas di Malaysia tidak sama seperti menyambut Krismas di negara saya (United Kingdom). Oleh kerana tambang penerbangan adalah mahal, lebih baik dan lebih murah jika saya merancang perjalanan dengan menaiki kenderaan di sini.
"Hujung minggu ini, kawan-kawan saya dan saya merancang perjalanan ke utara Malaysia, destinasi pertama persinggahan kami ialah di Ipoh, Perak dan kemudiannya ke Kota Baharu, Kelantan. Saya amat teruja untuk singgah di Pulau Pinang, saya banyak mendengar tentang makanan yang lazat di sana," katanya.
#antarabangsa #Help university #Krismas #pelajar
;