Pelajar antarabangsa dibenarkan masuk, pelajar Malaysia dibenarkan keluar - Ismail Sabri
Hasimi Muhamad
Jun 19, 2020 16:15 MYT
Jun 19, 2020 16:15 MYT
Pelajar antarabangsa di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) serta pelbagai sekolah antarabangsa diberi kebenaran untuk kembali ke Malaysia bagi menyambung pengajian masing-masing.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaako, berkata pelajar terbabit tidak perlu mengemukakan permohonan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk memasuki negara ini.
Sebaliknya, mereka hanya perlu mendaftar dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi, katanya.
“Sama juga dari segi prosedur operasi standard (SOP) dengan yang lain, mereka yang datang dari negara zon hijau tidak perlu menjalani kuarantin.
"Mereka yang datang dari negara zon merah, perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari dan memuat turun aplikasi MySejahtera,” katanya dalam sidang media harian di sini pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, katanya pelajar dari Malaysia yang mahu menyambung pengajian dan menduduki peperiksaan di universiti-universiti di luar negara juga dibenarkan untuk berbuat demikian.
Selain itu, kebenaran turut diberikan kepada mereka yang mempunyai urusan kecemasan, perubatan, mesyuarat khas dan sebagainya untuk ke luar negara.
Jelas Ismail Sabri, kumpulan tersebut juga tidak perlu mengemukakan permohonan kepada JIM.
Sebaliknya, mereka hanya perlu mengemukakan bukti pendaftaran pelajaran dan urusan berkenaan di kaunter imigresen di lapangan terbang.
“Oleh itu, bagi pelajar-pelajar ini, kalau sebelum ini perlu memohon kepada JIM, mulai sekarang mereka tidak lagi perlu mengemukakan permohonan kepada JIM.
"Namun, mereka mesti mempunyai surat untuk membuktikan bahawa mereka perlu ke luar negara untuk meneruskan pengajian ataupun menduduki peperiksaan.
“Begitu juga (kebenaran) kepada mereka ke luar negara untuk perubatan, kecemasan, mesyuarat khas dan sebagainya. Mereka perlu menunjukkan bukti tersebut di pintu keluar negara tanpa kebenaran JIM,” katanya.