Pelajar 17 tahun maut, motosikal terbabas awal pagi
Abd Razak Mohd Ali
Ogos 1, 2024 11:00 MYT
Ogos 1, 2024 11:00 MYT
TELUK INTAN: Seorang pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di sini, maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 27, Jalan Langkap-Kampar, dekat sini, awal pagi ini.
Pelajar berusia 17 tahun itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 1.31 pagi ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS-X dalam perjalanan dari arah Langkap ke Kampar.
“Sampai di tempat kejadian, mangsa dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan, menyebabkannya terjatuh dari motosikal,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, mangsa kemudiannya dibawa ke hospital tetapi meninggal dunia semasa menerima rawatan kecemasan.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa tidak memiliki lesen dan motosikal yang ditunggang adalah milik bapanya.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mangsa tidak mempunyai lesen memandu.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Amirrudin Shafiei di talian 013-9126959.
Ahmad Adnan turut menasihatkan ibu bapa atau penjaga agar memantau dan mengawal anak-anak supaya tidak menunggang motosikal tanpa lesen dan tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram.
Menurutnya, ibu bapa yang membenarkan anak-anak memandu kenderaan atau menunggang motosikal di bawah had umur, boleh dikenakan tindakam di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987.