Pelajar 13 tahun mati lemas di kolam renang di Dungun
Astro Awani
Mac 6, 2016 10:02 MYT
Mac 6, 2016 10:02 MYT
Keriangan tiga sahabat mandi manda sempena cuti hujung minggu bertukar tragedi apabila salah seorang dari mereka lemas ketika mandi di kolam renang.
Kejadian berlaku di Kelab Golf Desa Dungun kira kira jam 5.10 petang Sabtu.
Mayat Tan Yi Hong, 13, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Omar, Dungun, Terengganu ditemui setengah jam kemudian di dasar kolam yang sedalam lima meter.
Menurut salah seorang rakan keluarga, Wor Kuew Chin, mangsa mandi di kolam berkenaan bersama dua anaknya.
Mangsa yang berasal dari kampung Batu Lima dipercayai tergelincir ketika berada di tebing kolam dan gagal menyelamatkan diri lalu tenggelam.
Kuew Chin berkata bahawa pada mulanya anak-anaknya menyangka mangsa ke tandas kerana tiada kelihatan berenang di kolam.
Apabila terlihat mangsa terbaring di dasar kolam, dia meminta bantuan orang ramai untuk menyelamatkan mangsa.
Pasukan kecemasan dari Hospital Dungun yang tiba beberapa minit kemudian cuba memberikan rawatan kecemasan namun mangsa disahkan sudah meninggal dunia.
Mayat mangsa di bawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superitenden Ahmad Zailani Yaakub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.
Kes diklasifikasikan sebagai mati lemas.