Pelaburan timbal balik alternatif perkukuh bekalan makanan negara

Bernama
Mac 27, 2023 17:41 MYT
Jelas Mohamad, pelabur diperlukan membawa balik komoditi makanan hasil pelaburan yang dibuat mereka di luar negara ke Malaysia untuk memenuhi keperluan dalam negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat untuk meneroka potensi pelaburan timbal balik atau reverse investment (RI) dalam sektor agromakanan dan pertanian bagi membantu meningkatkan sumber serta memperkukuh bekalan makanan negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata buat masa ini kementerian sedang menyediakan satu garis panduan umum untuk diguna pakai pelabur, terutamanya syarikat swasta yang berhasrat melabur di luar negara secara RI.
Katanya pelaburan timbal balik ini memerlukan pelabur yang terlibat membawa balik komoditi makanan hasil pelaburan yang dibuat mereka di luar negara ke Malaysia untuk memenuhi keperluan dalam negara.
"Konsep dan tafsiran pelaburan RI dalam konteks agromakanan adalah penerokaan dan pengembangan operasi pelaburan tempatan ke luar negara dalam aktiviti pertanian yang dilaksanakan secara kaedah usahasama, pakatan pihak pelabur, rakan usahasama atau petani di negara berkaitan.
"Komoditi yang dibawa masuk akan dianggap sebagai sebahagian daripada keluaran dalam negara dan komoditi yang dibawa masuk juga hendaklah bersumberkan sepenuhnya daripada pelaburan yang dibuat setiap peringkat rantaian nilai pengeluaran," katanya sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di Dewan Negara hari ini.
Mohamad berkata negara yang dianggap sesuai untuk membuat pelaburan RI bagi penghasilan daging lembu, kerbau, kambing dan biri-biri adalah seperti Indonesia, Australia, Thailand, Papua New Guinea serta Pakistan dan India, manakala bagi jagung dan sumber makanan ternakan lain adalah Indonesia.
Sementara itu Mohamad kebanyakan graduan pertanian tidak bekerja dalam bidang itu selepas tamat pengajian disebabkan sektor itu lambat mendatangkan hasil, dan ada kalanya mengambil masa sehingga setahun.
"Memang kalau dalam sektor pertanian ini mendatangkan hasil yang lambat... nak bajak lagi, ternak lagi, memakan masa dalam tiga hingga enam bulan dan ada kalanya hingga setahun untuk jana hasil. Disebabkan itu mereka (graduan pertanian) memilih untuk makan gaji kerana lebih mudah dapat gaji.
"Ini juga menyebabkan mereka lebih sanggup jadi pemandu grab dan sebagainya meskipun hakikatnya sektor pertanian itu mampu memberi pulangan yang lumayan kepada mereka," katanya.
Justeru, antara langkah dilaksanakan kementerian untuk mendorong anak muda atau graduan pertanian terlibat dalam bidang itu secara aktif iaitu adalah dengan menyediakan pelbagai peruntukan yang boleh dimanfaatkan melalui Agrobank.
-- BERNAMA
#pelaburan #sumber makanan negara #Mohamad Sabu #Agromakanan #pertanian
;