Pelaburan, tenaga boleh diperbaharui, industri halal dibincang Perdana Menteri di Laos

Ridauddin Daud
Jun 27, 2023 12:55 MYT
Anwar turut mengulas Konsensus Lima Perkara (5C), dengan mengajak ASEAN terus bersatu dan menyelesaikan konflik Myanmar yang menjejaskan rantau tersebut. - Gambar/ Bernama
VIENTIANE: Potensi pelaburan dua negara, tenaga boleh diperbaharui dan industri halal antara inti pati pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone pada Selasa.
Dalam pertemuan di Vientiane itu, Perdana Menteri berkata peningkatan ketara pelaburan antara kedua-dua negara menunjukkan perkembangan positif bukan hanya untuk Malaysia tapi juga Laos.
Menurutnya, tahun 2022 merekodkan peningkatan sebanyak 425 peratus dan beliau percaya usaha meningkatkan lagi pelaburan akan disegerakan selepas meneliti potensi yang ada.
BACA: Laos bentang permaidani merah sambut lawatan sulung Anwar
“Saya percaya, Insya-Allah akan disegerakan dan dipercepatkan selepas melihat banyak potensi. Saya harus berterima kasih kepada kerajaan dan sokongan anda untuk usaha kami.
“Kami telah berada di sini pada mulanya dengan loji hidro, dengan sokongan anda. Melihat tahap kejayaan itu, kami melihat Tenaga Nasional menyertai usaha itu dan dari segi teknologi boleh diperbaharui, anda mempunyai potensi yang sangat besar.
“Kerjasama antara Tenaga Nasional dan Electricite du Laos dalam tenaga boleh diperbaharui, ia adalah sesuatu yang kami sokong dan terima kasih sekali lagi atas sokongan anda dan sokongan kerajaan anda,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Siphandone sempena Lawatan Rasmi Perdana Menteri Malaysia ke Laos pada Rabu.
BACA: PM bertemu dengan beberapa pemimpin pertubuhan Islam Laos
Bagi aspek industri halal pula, Perdana Menteri mengalu-alukan Laos untuk bekerjasama termasuk perkongsian ilmu dalam industri tersebut yang sememangnya sinonim dengan Malaysia.
Selain itu, Anwar turut mengulas Konsensus Lima Perkara (5C), dengan mengajak ASEAN terus bersatu dan menyelesaikan konflik Myanmar yang menjejaskan rantau tersebut.
BACA: Kunjungan ke Laos perkukuh hubungan persahabatan, kerjasama - PM Anwar
Sementara itu, Siphandone dalam sidang media sama berkata, kedua-dua negara bersetuju untuk mengukuhkan hubungan bilateral demi manfaat rakyat Laos dan Malaysia.
Tambah beliau, Laos juga sedia untuk meneroka bidang berpotensi seperti tenaga boleh diperbaharui, agrikultur dan pelancongan dengan Malaysia.
Menurut Siphandone, capaian pengangkutan antara kedua-dua negara juga antara perkara dibincangkan dan akan diteliti sebaik mungkin selepas ini.
#Anwar Ibrahim #Sonexay Siphandone #Perdana Menteri #ASEAN #laos
;