Pelaburan tambahan Infineon bukti keyakinan terhadap dasar negara - PM Anwar

Bernama
Ogos 9, 2024 14:40 MYT
Anwar berkata transisi tenaga, pendigitalan dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) turut mempengaruhi pelaburan terbesar Infineon di Malaysia. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Dasar ekonomi negara yang jelas dan kestabilan politik menjadi antara faktor yang menarik syarikat semikonduktor global, Infineon Technologies AG (Infineon) untuk mengumumkan pelaburan tambahan berjumlah RM30.1 bilion semalam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Keputusan mereka untuk melabur tentunya mengambil kira kedudukan politik yang stabil dan dasar ekonomi yang jelas," kata beliau pada Majlis Peluncuran Garis Panduan mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan hari ini.
Beliau berkata transisi tenaga, pendigitalan dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) turut mempengaruhi pelaburan terbesar Infineon di Malaysia.
Semalam, penyedia penyelesaian semikonduktor dari Jerman itu mengumumkan akan menambah pelaburan lima bilion euro (RM30.1 bilion) untuk Fasa 2 pembinaan kilang fabrikasi kuasa silikon karbida 200-milimeter terbesar dunia di Kulim, Kedah.
Jumlah itu adalah tambahan daripada pelaburan awal sebanyak dua bilion euro (RM9.7 bilion) membabitkan Fasa 1.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #Infineon #ekonomi malaysia
;