Pelaburan Malaysia di Asia Barat jadi tumpuan pertemuan Muhyiddin, Abdul Hadi - MB

Nur Fazlizai Ali
Ogos 13, 2021 19:01 MYT
Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ruang perbincangan itu turut diambil Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bagi mengutarakan pandangan berhubung perkara berkenaan. - Gambar fail
KUALA NERUS: Perbincangan serta pandangan berhubung kedudukan pelaburan malaysia di Asia Barat antara yang disentuh dalam pertemuan antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Khamis.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ruang perbincangan itu turut diambil Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bagi mengutarakan pandangan berhubung perkara berkenaan.
“Dalam pertemuan itu banyak perkara yang dibincangkan dan antara yang banyaknya berkenaan dengan beberapa pandangan yang baru dengan kedudukan pelaburan Malaysia di Asia Barat di mana ia menyentuh peranan Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi sendiri sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.
“Ada beberapa perkara yang telah dilakukan oleh Datuk Seri Tuan Guru sendiri bertemu dengan duta-duta dari Asia Barat… ianya telah dimaklumkan secara terus oleh Datuk Seri Tuan Guru kepada Perdana Menteri,” kata Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas.
Beliau berkata demikian dalam sidang media berkaitan krisis air Berangan di Tangki Air Bukit Berangan, di sini, hari ini.
Ditanya apakah dalam pertemuan lebih satu jam dua pemimpim itu turut menyentuh situasi politik semasa, Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang itu tidak mengulas lanjut.
“Kita berada dalam suasana politik, tentulah… biasalah tentang politik,” jelas beliau lagi.
BACA: Muhyiddin kunjungi Abdul Hadi
Pada Khamis, Perdana Menteri mengunjungi Abdul Hadi di kediaman Presiden Pas itu di Rusila, Marang.
Muhyiddin tiba di kediaman Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang sekitar pukul 5 petang dan meluangkan masa lebih sejam.
Ahmad Samsuri turut mengiringi Perdana Menteri dalam pertemuan itu.
#Muhyiddin Yassin #Abdul Hadi Awang #Perdana Menteri #Presiden Pas #Ahmad Samsuri Mokhtar #Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah
;