Pelaburan Google RM9.4 bilion petanda positif pelabur yakin terhadap pentadbiran kerajaan - Fahmi

Bernama
Mei 30, 2024 13:15 MYT
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Pelaburan Google berjumlah AS$2 bilion (RM9.4 bilion) merupakan petanda positif bahawa pelabur mempunyai keyakinan utuh terhadap pentadbiran Kerajaan Madani, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata perkara itu wajar dijadikan pencetus semangat untuk meningkatkan produktiviti kerja, dan pada masa sama bergerak dengan lebih pintar untuk menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara.
"Saya dimaklumkan sebelum ini, ada beberapa negara destinasi yang dalam pertimbangan mereka (Google).
"Saya percaya dalam beberapa siri pertemuan (dengan Google) termasuk dengan saya, (dengan) apa yang kita sampaikan dan prestasi kita dinilai dengan baik, maka kita mendengar tentang pelaburan daripada Google," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpulan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata 'penterjemahan' pantas dari segi pelaburan itu juga menzahirkan komitmen pentabdiran Kerajaan Madani yang mempunyai hala tuju jelas seperti yang dimahukan para pelabur.
Google hari ini mengumumkan komitmen pelaburan RM9.4 billion di Malaysia, yang merangkumi pembangunan pusat data pertama Google di Malaysia dan Wilayah Awan Google untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan, di peringkat tempatan mahupun global serta program literasi kecerdasan buatan (Al) untuk pelajar dan pendidik di negara ini.
-- BERNAMA
#pelaburan Google #keyakinan pelabur #Fahmi Fadzil #Kerajaan Madani #AI
;