Pelaburan berteknologi tinggi wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan - Tun M
Rahimah Abdullah
November 28, 2019 09:33 MYT
November 28, 2019 09:33 MYT
Kerajaan yakin lebih banyak peluang pekerjaan yang sesuai akan diwujudkan selepas pelaburan sektor pembuatan teknologi tinggi dibawa masuk ke dalam negara.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin ia sekali gus dapat membantu isu pengangguran lepasan graduan atau pencari kerja di negara ini.
“Kadang-kala mereka mendapat pekerjaan yang tidak sama dengan kelayakan.
"Saya masih ingat datang seorang wanita lulusan kejuruteraan aeroangkasa. Dia menjual kuih semasa bulan puasa dan saya tanya kenapa kamu buat semua ini? Dia cakap tiada kerja,” katanya semasa Dialog Bersama Diaspora Malaysia di sini.
Katanya, peluang pekerjaan akan dapat diwujudkan selepas kerajaan berjaya menarik minat syarikat-syarikat dari Korea Selatan untuk melabur dan memindahkan teknologi mereka ke Malaysia.
“Jadi kami sedang cuba untuk menggalakkan lebih banyak syarikat berteknologi tinggi ke Malaysia dan mengambil mereka yang tidak bekerja untuk bekerja dengan mereka di Malaysia,” ujar beliau.
Bagaimanapun, katanya, lepasan graduan khususnya perlu bersikap berani dan sedia menyahut cabaran dalam dunia pekerjaan.
Perdana Menteri ketika ini berada di Korea Selatan untuk lawatan kerja rasmi selama dua hari di negara itu.