Pelaburan berkualiti tinggi dapat selesaikan masalah lambakan pekerja asing - Penganalisis

Israr Khalid
Februari 21, 2023 12:17 MYT
Pekerja tempatan tidak kisah menceburi pekerjaan sukar andai upahnya bermaruah. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pelaburan berkualiti rendah mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran rendah, menetapkan kadar gaji pada tahap yang rendah sekali gus menjadi punca kepada lambakan pekerja asing di negara ini.
Sehubungan itu, tegas Prof. Madya Irwan Shah Zainal Abidin dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan & Perbankan UUM, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada usaha membawa lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi untuk mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi.
Dengan itu, katanya, kebergantungan kepada tenaga kerja berkemahiran rendah dapat dikurangkan sekali gus menyelesaikan isu pengangguran, kekurangan pekerjaan serta ketidakpadanan pekerjaan untuk tenaga kerja tempatan.
“Bila kita hanya mahukan pelaburan semata-mata, apa yang berlaku akhirnya kita menjadi satu pusat penarikan pekerja kurang mahir dan kebergantungan kepada pekerja kurang mahir menyebabkan kadar upah kita itu ditekan dan sukar untuk naik.
“Ini perlukan perubahan yang struktural, mungkin juga kita boleh lihat strategi seperti memberi insentif (kepada syarikat) untuk pastikan bahawa kali ini kita akan fokus untuk mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Isu ketidakpadanan pekerjaan ketika ini serius, di mana menurut Irwan Shah, setiap tahun kemasukan graduan ke dalam pasaran pekerjaan adalah sekitar 300,000 orang namun hanya 90,000 yang diambil pekerja.
Maka perlu lebih banyak pekerjaan yang padan dengan kelayakan para graduan tempatan diwujudkan, dan beliau melihat perubahan dalam sistem percukaian adalah diperlukan untuk menarik pelaburan besar dan berkualiti masuk ke negara ini.
Pelaburan berkualiti tinggi dapat selesaikan masalah lambakan pekerja asing - Dr. Irwan Shah
#Agenda Awani #pekerja asing #tenaga kerja #pekerjaan berpendapatan tinggi
;