Pelaburan AWS: Cerminan keyakinan pelabur terhadap Ekonomi Madani - PM

Harits Asyraf Hasnan
Ogos 23, 2024 12:03 MYT
Anwar mengalu-alukan AWS ke Malaysia, selain teruja dengan potensi pelaburan baharu dan inovasi-inovasi baharu yang bakal terhasil daripada pemindahan teknologi, ilmu pengetahuan dan banyak lagi. - Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Pelaburan jangka panjang Amazon Web Services (AWS) di Malaysia jelas menjadi cerminan keyakinan pelabur terhadap kestabilan dan dasar Ekonomi Madani.
Menyambut baik pelaburan berjumlah RM29.2 bilion itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bukan sahaja membawa limpahan besar kepada negara, malah kemakmuran berpanjangan buat rakyat.
"Pelaburan-pelaburan ini adalah pengiktirafan terhadap kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan Madani dalam mewujudkan dan merangka persekitaran pelaburan yang menarik, terbuka dan telus.
"Terdapat beberapa komponen dalam hubungan baharu Malaysia dengan AWS.
"Pertama, AWS akan melabur untuk membina pusat data fizikal di Malaysia, menjadikan Malaysia antara 34 wilayah dalam peta infrastruktur global Amazon.
"Kedua, lebih 3,500 pekerjaan untuk rakyat Malaysia akan diwujudkan secara langsung hasil pembinaan pusat data baharu ini.
"Pekerjaan ini merangkumi bidang pembinaan, penyenggaraan fasiliti, kejuruteraan, telekomunikasi dan bidang-bindang lain dalam ekonomi kita, akan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan bernilai tinggi AWS," katanya menerusi petikan video yang dimuat naik di akaun media sosial beliau hari ini.
Semalam, AWS yang juga unit Amazon.com Inc melancarkan wilayah infrastruktur AWS Wilayah Asia Pasifik (Malaysia) dan merancang pelaburan kira-kira US$6.2 bilion (kira-kira RM29.2 bilion) di Malaysia sehingga 2038.
Dalam kenyataan dikeluarkan di Seattle, Amerika Syarikat, syarikat itu berkata bermula 22 Ogos kalangan pemaju, syarikat pemula niaga, usahawan, perusahaan, kerajaan, pendidikan dan pertubuhan bukan berkeuntungan, mempunyai pilihan lebih luas dalam mengendalikan aplikasi selain berkhidmat kepada pengguna dari pusat data AWS di Malaysia.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, sebagai sebahagian daripada hubungan baharu ini, AWS telah menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Awan untuk meningkatkan penggunaan teknologi awan dalam sektor awam.
Justeru, beliau mengalu-alukan AWS ke Malaysia, selain teruja dengan potensi pelaburan baharu tersebut dan inovasi-inovasi baharu yang bakal terhasil daripada pemindahan teknologi, ilmu pengetahuan serta banyak lagi.
Menurut AWS dalam kenyataannya semalam, pembinaan dan operasi Wilayah AWS baharu itu dianggar dapat menambah kira-kira US$12.1 bilion (RM57.3 bilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia.
"Selain itu, ia menyokong purata lebih 3,500 pekerjaan setara sepenuh masa di perniagaan luar setiap tahun sehingga 2038.
“Kesemua pekerjaan ini, termasuk pembinan, kemudahan penyelenggaraan, kejuruteraan, telekomunikasi dan lainnya dalam ruang ekonomi negara itu yang meluas, akan menjadi sebahagian daipada rantaian bekalan AWS di Malaysia,” tambahnya.
Pelancaran AWS Wilayah Asia Pasifik (Malaysia) itu turut menjadikan AWS mempunyai sebanyak 108 zon ketersediaan yang merentasi 34 kawasan geografi.
#Anwar Ibrahim #Amazon #teknologi awan #AWS