'Pelabur tak percaya bukan sebab Statut Rom, tapi polisi macam 'yoyo' - TMJ
Hasimi Muhamad
April 9, 2019 16:04 MYT
April 9, 2019 16:04 MYT
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan ketidakpercayaan pelabur untuk melabur di Malaysia bukan kerana keputusan kerajaan tidak meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Sebaliknya, tegas Tunku Ismail, ia kerana dasar polisi yang dipimpin oleh kerajaan sejak hari pertama Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pimpinan negara.
“Pelabur tak yakin bukan pasal tak sign (menandatangani) Statut Rom. Pelabur tak yakin pasal polisi macam yoyo since first day (sejak hari pertama). Setiap hari ada cerita baru.
"Contoh RTS (projek Sistem Rapid Transit) sesuatu yang boleh membantu masalah orang keluar masuk Johor dan Singapura dihentikan dan pergi bina lapangan terbang di Kulim,” demikian katanya dalam kemaskini di laman Twitter, pada Selasa.
Tunku Ismail atau lebih dikenali sebagai TMJ berkata demikian sebagai membidas kenyataan seorang pengguna Twitter yang mendakwa pelabur tidak yakin dengan Malaysia selagi mana kerajaan tidak menerima ICC.
Sabtu lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memutuskan Malaysia menarik diri daripada ICC kerana kekeliruan yang timbul dalam masyarakat serta disebabkan cubaan pihak tertentu.
Dr Mahathir memberitahu keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet setelah mengambil kira bantahan pelbagai pihak termasuk majlis raja-raja.
Dalam pada itu, TMJ turut menyentuh isu yang tular berhubung khabar angin mengenai pertukaran Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.
Bagaimanapun katanya, kesempatan tersebut diambil individu lain kononnya arahan menukar Menteri Besar itu datang daripada pihaknya.
Namun, tambah TMJ, perkara itu sudah lama dititahkan dan pemilihan Menteri Besar adalah hak mutlak Sultan,
“Titah untuk tukar Menteri Besar dah lama tetapi orang lain pula nak ambil kredit dan mileage (kelebihan) kononnya dia arahkan.
“Ke bawah duli tuanku sudah meneliti untuk tukar Menteri Besar sejak berbulan lalu. Jangan lupa, kuasa memilih Menteri Besar adalah hak mutlak Sultan. Cukup cukuplah politicking,” katanya.
Justeru itu, TMJ berharap Menteri Besar baharu bukanlah yes man Putrajaya, sebaliknya perlu mengutamakan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri Johor.