Pelabur asing jual ekuiti tempatan bernilai RM288.2 juta bersih minggu lepas

Bernama
Februari 2, 2021 12:32 MYT
Aliran masuk asing pada Jumaat menyaksikan rentetan penjualan asing selama lapan hari di Bursa Malaysia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pelabur asing menjual ekuiti tempatan bernilai RM535.5 juta bersih pada minggu ketiga 2021 berbanding RM288.4 juta pada minggu sebelumnya.
Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata pelabur antarabangsa memulakan minggu berkenaan dengan melupuskan sejumlah RM199.7 juta bersih ekuiti tempatan pada Isnin kerana mereka bimbang kemungkinan pelancaran vaksin yang perlahan boleh melambatkan pemulihan ekonomi global.
Begitu juga dengan indeks FBM KLCI yang mengalami permulaan awal yang kurang menyenangkan, menyusut 1.3 peratus Isnin minggu lepas untuk berada pada paras 1,576.6 mata, tidak seperti bursa serantau yang lain - Korea Selatan, Thailand, Jepun, dan Hong Kong yang mengakhiri urus niaga lebih tinggi, didorong oleh keyakinan daripada cadangan pakej rangsangan AS.
Momentum penjualan bersih asing meningkat kepada RM298.9 juta pada Selasa selepas sentimen pelabur terjejas oleh berita bahawa pakej rangsangan AS mungkin ditunda.
"Presiden Joe Biden memaklumkan beliau terbuka untuk menyusun semula cadangan bantuan COVID-19 bernilai US$ 1.9 trilion ketika kerajaan mencari perjanjian bagi kedua-dua pihak, walaupun tidak menolak untuk meneruskan laluan yang digunakan oleh Demokrat.
"Rentak penjualan ekuiti tempatan oleh pelabur asing perlahan seketika pada Rabu dengan mereka hanya menjual RM81.3 juta bersih seiring dengan rakan Asia Tenggara yang lain seperti Thailand, Indonesia dan Filipina," katanya kepada Bernama.
Untuk bahagian dasar monetari pula, peniaga mengharapkan agar pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell mengekalkan sokongan agresif bank pusat terhadap ekonomi AS selepas mesyuarat dua hari Rizab Persekutuan selesai pada Rabu.
Semasa pasaran dibuka semula selepas cuti umum sambutan perayaan Thaipusam, Adam berkata pelabur luar pesisir menjana pulangan sederhana dengan memperoleh ekuiti tempatan berjumlah RM44.4 juta bersih pada hari Jumaat.
Aliran masuk asing pada Jumaat menyaksikan rentetan penjualan asing selama lapan hari di Bursa Malaysia.
Setelah diteliti, Malaysia adalah satu-satunya negara yang mencatat aliran masuk bersih asing pada hari Jumaat berbanding dengan pasaran Asia lain seperti Thailand, Indonesia, Filipina, Korea Selatan, India, dan Taiwan.
Malaysia turut mendapat aura positif pada Khamis tatkala saham AS melonjak kembali daripada kerugian terburuk sejak Oktober berikutan langkah mengehadkan spekulasi peniaga runcit di beberapa syarikat telah membuka pintu bagi dana lindung nilai mengumpul saham yang mereka inginkan.
Secara keseluruhan, bulan Januari 2021 menyaksikan aliran keluar bersih asing sebanyak RM834.7 juta bersih, menandakan aliran keluar bersih asing ke-19 berturut-turut dari Bursa Malaysia.
"Berbanding dengan rakan serantau Asia yang lain (Korea Selatan, Thailand, Indonesia, Filipina, Taiwan dan India), Malaysia mempunyai aliran keluar bersih asing bulanan terkecil pada Januari 2021, sementara Korea Selatan mencatatkan penjualan bersih asing bulanan tertinggi US$5.2 bilion bersih pada bulan yang sama," kata Adam.
Sementara itu, MIDF Research dalam Laporan Aliran Dananya berkata sejak awal 2021, secara kumulatif, peruncit adalah satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti yang bernilai RM1.75 bilion.
Institusi tempatan dan pelabur asing pula merupakan penjual bersih, masing-masing berjumlah -RM919.25 juta dan -RM833.87 juta.
Pasaran ekuiti utama seluruh dunia turut menyaksikan prestasi negatif untuk minggu keempat 2021, termasuk AS, Singapura dan Eropah, katanya.
- BERNAMA
TAG: aliran dana, pelabur asing, ekuiti tempatan, Adam Mohamed Rahim, Bank Islam, MIDF
#aliran masuk asing #penjualan asing #Bursa Malaysia #aliran keluar asing #aliran keluar bersih #MIDF Research #aliran dana #penjualan bersih #ekuiti #pasaran #spekulasi #peniaga #runcit #Rizab Persekutuan AS #Joe Biden #COVID-19 #ekonomi #Malaysia #bank
;