Pelabuhan Klang catat penurunan bacaan IPU, namun masih tidak sihat

Bernama
Mac 15, 2014 16:25 MYT
Pelabuhan Klang mencatat penurunan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dengan bacaan 154 iaitu tidak sihat pada tengah hari Sabtu.
Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS), beberapa kawasan lain juga mencatatkan penurunan termasuk Banting, (125), Shah Alam 110 dan Petaling Jaya (103) iaitu dalam lingkungan tidak sihat.
Sementara itu 22 kawasan mencatat bacaan sederhana, antaranya Seri Manjung, Perak (56), Alor Setar, Kedah (51), Cheras, Kuala Lumpur (80), dan Nilai, Negeri Sembilan (91).
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 10 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).
Semalam Pelabuhan Klang dan Banting di Selangor mencatatkan bacaan melepasi paras "Berbahaya".
Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my kendalian JAS untuk mengetahui bacaan IPU di kawasan mereka.
#indeks pencemaran udara (IPU) #Jabatan Alam Sekitar (JAS) #jerebu
;