Pekerjaan '3D': Industri tidak mampu, gaji rendah berterusan - Khairy
Hafiz Marzukhi
Februari 16, 2016 14:12 MYT
Februari 16, 2016 14:12 MYT
Faktor gaji rendah bagi pekerjaan yang kurang digemari belia dijangka berterusan kerana industri berkenaan tidak mampu menawarkan nilai yang terlalu tinggi bagi pekerjaan berkenaan.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata beliau percaya industri-industri seperti pembinaan dan perladangan belum dapat menawarkan gaji yang terlalu tinggi sekarang ini.
"Buat masa ini, saya percaya industri-industri berkenaan belum dapat menawarkan gaji yang terlalu tinggi.
"Realitinya, sesetengah sektor masih perlu bergantung kepada pekerja asing," kata Khairy.
Beliau yang ditemui selepas merasmikan aplikasi 'Fitness in my Pocket' di Bangsar pagi ini mengulas mengenai isu pekerjaan '3D' iaitu dirty, difficult & dangerous (kotor, sukar dan bahaya) yang kini menimbulkan banyak perdebatan tentang sama ada mahu atau boleh diisi oleh tenaga tempatan.
Dalam perkembangan berkaitan, terdapat pandangan yang menyatakan bahawa majikan lebih berminat menggaji pekerja asing dengan alasan tertentu, sekali gus menafikan hak penduduk tempatan untuk mendapatkan pekerjaan.
Pekerjaan sedemikian bukan tidak mahu direbut oleh warga tempatan, tetapi ia telah dipenuhi oleh warga asing kerana dipilih oleh fgolongan majikan atas alasan-alasan tertentu.
Pada Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar belia dan anak muda Malaysia untuk bekerja dalam sektor '3D' jika mereka menolak kemasukan pekerja asing ke negara ini.
Tegasnya, jika perkara itu mampu dilakukan, Malaysia tidak perlu lagi bergantung kepada pekerja asing termasuk warga Bangladesh.
#anak muda Malaysia
#industri pembinaan dan perladangan
#kerja kotor sukar dan bahaya
#Khairy Jamaluddin
#sektor 3D