Pekerja warga Nepal maut jatuh atas gondola, hempap rakan sekerja

Bernama
Mac 24, 2017 22:41 MYT
Kesan darah warga Nepal yang mati terjatuh di atas gondola sebelum menghempap seorang lagi rakan sekerjanya di tapak pembinaan bangunan baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Presint 7 hari ini. -Bernama
Seorang warga Nepal maut setelah terjatuh di atas gondola sebelum menghempap seorang pekerja warga Bangladesh yang berada di dalamnya di satu tapak pembinaan di Presint 7, di sini hari ini.
Warga Nepal berkenaan, Bhim Bahadur Katuwal, 31, yang dipercayai terjatuh dari tapak pembinaan bangunan baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, mati di tempat kejadian.
Rakan sekerjanya pula, seorang warga Bangladesh, Mohammad Abul Hosen, 45, patah tangan kanan setelah dihempap mangsa dalam kejadian kira-kira 8.50 pagi dan dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan ketika dihubungi berkata polis tidak menolak kemungkinan Bhim Bahadur terjatuh daripada tingkat 23 atau tingkat 17 kerana aras tersebut sahaja mempunyai ruang terbuka.
"Siasatan mendapati semasa Mohammad Abul sedang memasukkan peredup ke dalam gondola tiba-tiba mangsa jatuh ke atas gondola itu lalu menghempapnya (Mohammad Abul )," katanya.
Rosly berkata setakat ini tiada saksi yang melihat kejadian itu dan kes yang masih dalam siasatan ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
-- BERNAMA
#Bhim Bahadur Katuwal #gondola #maut #Mohammad Abul Hosen #Nepal #SPRM
;