Pekerja tidak jangka pembubaran SPAD
Bernama
Mei 23, 2018 21:12 MYT
Mei 23, 2018 21:12 MYT
Pembubaran Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) tidak langsung dijangka oleh warga kerja suruhanjaya itu yang ditubuhkan pada tahun 2010.
Tinjauan Bernama di pejabat SPAD Kuala Lumpur mendapati pekerja sudah mula pulang seawal 4.40 petang ekoran kebenaran pulang awal pada bulan puasa.
Jelas segelintir masih nampak dalam keadaan bergelak ketawa malah turut berswafoto di hadapan pejabat bersama kad kakitangan mereka.
Seorang pekerja SPAD yang tidak mahu dikenali menyatakan rasa terkejut apabila suruhanjaya tempat mereka bekerja bakal dibubarkan.
"Kami semua memang tidak jangka perkara ini berlaku sebab kami buat kerja... pelantikan staf di sini bukan pelantikan politik... pelantikan kami sama seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Kami (SPAD) memudahkan pengurusan untuk pengangkutan darat. Berbeza dengan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ), mereka lebih kepada pengangkutan persendirian. Kami harap kerajaan dapat pencerahan sebenarnya apa fungsi SPAD, " kata lelaki itu ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.
Katanya, mereka masih belum dimaklumkan bila tarikh terakhir mereka akan bekerja tetapi mengharapkan agar sebarang kemungkinan baik akan berlaku.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan beberapa agensi kerajaan dibubarkan antaranya SPAD, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama kerajaan baharu di Putajaya hari ini.
Sementara tinjauan di pejabat JASA di sini mendapati petugas bekerja seperti biasa.
Cubaan wartawan untuk mendapatkan komen daripada beberapa orang petugas tidak berhasil berikutan mereka enggan mengulas tentang perkara berkenaan.
Selain pembubaran SPAD dan JASA, antara agensi yang turut dibubarkan adalah Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), satu inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dan Majlis Profesor Negara (MPN).
-- BERNAMA