Pekerja tertimbus dalam runtuhan di tapak kuari Keramat Pulai

Abd Razak Mohd Ali
September 5, 2023 14:07 MYT
Operasi sedang giat dijalankan dengan pemantauan pergerakan batu di lokasi kejadian oleh pakar cerun dari JMG.- Foto JBPM
IPOH: Seorang lelaki pekerja warga asing dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan batu di tapak kuari Keramat Pulai, Simpang Pulai, di Ipoh, pada pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 10.50 pagi mengenai runtuhan itu.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, kejadian itu dikatakan berlaku sekitar jam 10.45 pagi.
Susulan itu pihak polis telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan agensi lain yang berkaitan di lokasi kejadian.
Katanya, operasi sedang giat dijalankan dengan pemantauan pergerakan batu di lokasi kejadian oleh pakar cerun dari JMG.
Menurutnya, perkembangan operasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 10.56 pagi.
Menurutnya, mangsa masih berada di lokasi dan anggota bomba cuba mengeluarkannya tetapi tangan mangsa masih tersangkut di bawah jentera dan belum dapat dikeluarkan.
Bagaimanapun, katanya, kerja-kerja membawa keluar mangsa dihentikan sementara kerana masih terdapat pergerakan batu jatuh dari tebing yang runtuh.
#warga asing #tertimbus #tapak kuari #Keramat Pulai #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
;