Pekerja syarikat utiliti guna media sosial hina pemimpin negara
Asyraf Roslan
Januari 8, 2019 11:26 MYT
Januari 8, 2019 11:26 MYT
Lagi kes individu hina bekas Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Kali ini membabitkan individu yang dipercayai bekerja di sebuah syarikat gergasi utiliti nasional.
Individu tersebut telah mengeluarkan satu kenyataan yang berbaur hasutan di laman Twitternya.
Rata-rata ramai masyarakat yang marah dengan tindakan individu tersebut dan meminta supaya syarikat utiliti itu mengambil tindakan serta-merta ke atas individu terbabit.
Terdahulu salah seorang pekerja Syarikat Cisco Asean, Eric Liew juga telah menghina bekas Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Bagaimana pun, dia telah membuat permohonan maaf secara terbuka hari ini.
Menurut laporan Sinar Harian, syarikat terbabit juga turut menyatakan bahawa individu berkenaan tidak lagi bekerja di syarikat berkenaan.
Syarikat tersebut juga menyatakan bahawa mereka sangat menghormati tradisi dan undang-undang Malaysia.
"Cisco menghormati tradisi dan undang-undang Malaysia" .
Tambah syarikat itu lagi, kenyataan tersebut dibuat oleh bekas pekerja syarikat terbabit dan tidak langsung mewakili pandangan Cisco.
"Kenyataan itu dibuat oleh pekerja dalam kapasiti peribadi dan tidak mewakili pandangan Cisco. Kami sangat menyesal di atas kesulitan yang disebabkan olehnya dan kami meminta maaf, dan dia tidak lagi dengan syarikat kami," petik kenyataan Cisco Asean yang dikeluarkan menerusi platform rasmi Facebook mereka.
Disember lalu seorang kakitangan Honda telah dipecat apabila dia telah menghina kematian Muhammad Adib yang dipukul semasa kejadian di Kuil Sri Mahamariaman, USJ.