Pekerja syarikat telekomunikasi maut ketika pasang kabel atas bumbung

Aida Aziz
November 11, 2022 20:29 MYT
Lelaki berusia dalam lingkungan 30 tahun itu dikatakan pengsan di atas bumbung, sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM). - Gambar/ JBPM
KAMUNTING: Seorang pekerja syarikat telekomunikasi meninggal dunia ketika melakukan kerja pemasangan kabel internet di atas bumbung dekat Jalan Tengas, Taman Lela 1 di sini, petang tadi.
Terdahulu, lelaki berusia dalam lingkungan 30 tahun itu dikatakan pengsan di atas bumbung, sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.56 sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting digerakkan ke lokasi.
"Setibanya jentera di lokasi kejadian mendapati seorang lelaki pengsan di atas bumbung sewaktu melakukan kerja pemasangan kabel internet.
"Pasukan bomba melakukan kerja menurunkan mangsa menggunakan pengusung.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak KKM," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Saiful Izuan Ahmad itu tamat pada jam 5.14 petang.
#maut atas bumbung #kabel internet #kamunting #pekerja telekomunikasi
;