Pekerja stesen minyak jual kad NFC pada harga lima kali ganda

Sinar Harian
September 28, 2022 13:00 MYT
Penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan di seluruh negara berhubung aduan penjualan kad NFC pada harga berlipat ganda. - Foto Sinar Harian
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan seorang pekerja kaunter pembayaran sebuah stesen minyak yang menjual kad Komunikasi Medan Dekat (NFC) Touch ‘n Go (TnG) pada kadar lebih lima kali ganda menerusi platform pasaran dalam talian.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, harga sekeping kad NFC tanpa sebarang kredit di dalamnya adalah RM10.
"Penjualan kad NFC TnG sejak April tahun ini mengundang polemik dalam kalangan rakyat apabila rata-rata mengadu bahawa ia sukar didapati berikutan bekalan yang terhad di semua saluran seperti diuar-uarkan," katanya.
Menurutnya, bagi tempoh dari April hingga 25 September lalu, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP menerima empat aduan rasmi mengenai kad NFC, selain mengesan 13 iklan jualan membabitkan beberapa platfrom dalam talian.
“Berdasarkan semakan dan maklumat daripada pengelola platform pasaran dalam talian, sebanyak 11 premis merangkumi kediaman peribadi serta bangunan perniagaan diperiksa berhubung kes sama," katanya.
Beliau berkata, pasca pemeriksaan pula mendapati sebanyak enam notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan kepada pihak terbabit, yang antara lain menuntut supaya maklum balas atau penjelasan rasmi perlu dikemukakan kepada kementerian.
“Pihak berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21(5) AKHAP 2011 kerana enggan atau gagal mengemukakan maklum balas,” katanya.
Alexander berkata, pengurusan kanan kementerian akan mengadakan pertemuan dengan syarikat TnG pada minggu ini bagi mendapatkan status kaedah semasa penjualan dan isu kekurangan bekalan kad NFC seperti dikemukakan ramai pengguna.
"Sebarang perkembangan mengenai hasil pertemuan antara KPDNHEP dengan syarikat TnG akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. -Sinar Harian
#kad NFC #Alexander Nanta Linggi #KPDNHEP #kad Komunikasi Medan Dekat
;