Pekerja sambilan bebas tuduhan buat komunikasi jelik berkaitan darurat

Bernama
September 6, 2024 17:26 MYT
Hakim membebaskan Wan Mohd Aman Wan Mohd Ishak, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap lelaki itu pada akhir kes pendakwaan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang pekerja sambilan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada pertuduhan membuat komunikasi jelik berhubung Proklamasi Darurat melalui aplikasi Facebook miliknya, tiga tahun lepas.
Hakim Datuk M.M. Edwin Paramjothy membebaskan Wan Mohd Aman Wan Mohd Ishak, 43, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap lelaki itu pada akhir kes pendakwaan.
"Setelah mendengar keterangan saksi-saksi pendakwaan dan membaca hujahan pihak-pihak terlibat, mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap OKS. OKS dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan dan wang jaminan (RM3,000) dikembalikan," kata Edwin.
Pada 2 Julai 2021, Wan Mohd Aman mengaku tidak bersalah atas dakwaan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran satu komunikasi yang jelik sifatnya, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan laman profil 'Aman Muhammad' pada 10.59 pagi, 12 Jan 2021.
Pautan itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ di sini pada 4.12 petang, 12 Jan 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah manakala Wan Mohd Aman diwakili peguam Mohd Yusoff Yakob. Sebanyak lima saksi pendakwaan memberi keterangan semasa perbicaraan kes yang bermula pada 4 Jan 2022.
-- BERNAMA
#pekerja sambilan #dilepas dan dibebaskan #komunikasi jelik #Proklamasi Darurat #Facebook
;