Pekerja restoran 'mamak' bunuh rakan sebelum gantung diri pada kipas

Dewi Nur Harasha Alias
Julai 27, 2019 06:00 MYT
Polis berkata, mayat kedua- dua lelaki berkenaan ditemukan oleh rakan sekerja mereka yang tinggal di rumah tersebut pada jam 6 petang. - Foto PDRM
Seorang pekerja restoran warganegara India dipercayai membunuh rakan senegaranya sebelum bertindak menggantung dirinya dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Taman Bertam Ria 2, Kepala Batas, Pulau Pinang pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, mayat lelaki berusia 26 tahun yang dikenali sebagai Azad Mubarakbhai ditemui tergantung pada kipas siling manakala rakannya Mubarak Ali, 28 tahun ditemui terbaring berlumuran darah di dalam bilik air di tingkat dua rumah kedai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mayat kedua- dua lelaki berkenaan ditemukan oleh rakan sekerja mereka yang tinggal di rumah tersebut pada jam 6 petang.
Noorzainy berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua mereka yang bekerja di sebuah restoran dipercayai bergaduh berikutan terdapat kesan pergelutan, tompokan darah dan luka pada tubuh mereka.
Polis percaya lelaki yang menggantung diri itu telah menikam rakannya berdasarkan penemuan sebilah pisau di sebelah mayatnya.
Menurutnya, siasatan mendapati semasa kejadian itu berlaku hanya mereka berdua sahaja yang berada di rumah kedai yang dijadikan asrama pekerja restoran berkenaan.
"Terdapat kesan pergelutan di dalam rumah kedai, di mana rumah ini rumah sewa pekerja yang kerja di kedai 'mamak' ini. Jadi hasil.siasatan awal kita dapati kedua-dua si mati habis kerja jam 12.30 tengah hari.
"Balik ke rumah kita tak tahu apa berlaku (sekitar) jam 12.30 - 6.30 petang, tapi kita percaya mereka bergaduh sebab kita menjumpai sebilah pisau dan hasil pemeriksaan awal ke atas kedua-dua mayat terdapat kesan tikaman," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Setakat ini, pihak polis menyiasat motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mayat kedua-dua lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.
#Azad Mubarakbhai #bunuh rakan #gantung diri #Hospital Seberang Jaya #Kepala Batas #lelaki warga India #Mubarak Ali #Polis Daerah Seberang Perai Utara #Seksyen 302 Kanun Keseksaan #Taman Bertam Ria
;