Pekerja restoran GISB nafi letak air rendaman kaki, janggut dalam makanan
Sinar Harian
September 18, 2024 12:35 MYT
September 18, 2024 12:35 MYT
SHAH ALAM: Pekerja Restoran Ikhwan Delights Sungai Penchala, Kuala Lumpur bersumpah menafikan restoran itu meletakkan air rendaman kaki, janggut, bulu dan sebagainya dalam makanan kepada pelanggan.
Menerusi rakaman video berdurasi 46 saat itu, empat pekerja terbabit menjelaskan perkara itu tidak benar seperti yang tular di seluruh negara.
Menurut mereka, restoran itu berdaftar di Kuala Lumpur bawah bimbingan Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) Holdings Sdn Bhd.
"Kami menafikan tuduhan yang dibuat dan dilemparkan berkaitan beberapa isu yang diperkatakan di Malaysia.
"Kami berani bersumpah atas nama Allah dan Rasul, 'Wallahi Wabillahi Watallahi'," katanya.
Menerusi video itu juga, mereka menjelaskan segala keterangan bersumpah itu benar dan sedia menerima hukuman daripada Allah.
"Jika kami berbohong Allah akan melaknat kami walaupun dengan isu ini kami akan terjejas dan terkesan."
Terdahulu Sinar Harian melaporkan Restoran Nur Malaysia Makkah milik syarikat GISB yang beroperasi di Arab Saudi turut menafikan dakwaan meletakkan air rendaman kaki, air janggut, bulu dan lain-lain dalam makanan sepertimana tular di media sosial baru-baru ini.
Pekerja Nur Malaysia Makkah berkata, tuduhan itu tidak benar sama sekali dan sekiranya didapati berbohong, mereka sedia dilaknat Allah SWT.
"Kami berharap masyarakat di luar sana boleh menilai sendiri apa yang sedang berlaku," tambah beliau.
Menurut pekerja tersebut, pihaknya mengakui perniagaan restoran agak terkesan dengan kejadian yang berlaku di Malaysia ketika ini. - Sinar Harian