Pekerja resort hilang sejak Rabu ditemui selamat

Astro Awani
Ogos 2, 2019 06:01 MYT
Dari kiri, Mohamad Hafiz, Mohammad Firdaus dan Fauzi. - Astro AWANI
Tiga pekerja resort bersama sebuah bot yang sebelum ini dilaporkan hilang semasa dalam perjalanan ke Pulau Tenggol, Dungun, telah ditemui selamat.
Bot yang dinaiki mangsa dijumpai sebuah bot pukat jerut tempatan yang dikendalikan nelayan Thailand kira-kira jam 1 pagi ini.
Bot yang mengalami kerosakan enjin itu dijumpai hanyut di kawasan perairan berhampiran Pelantar Minyak Bunga Orkid.
Ia kemudiannya ditunda bot nelayan berkenaan ke pelantar minyak terbabit bagi mendapatkan bantuan.
Usaha sedang dijalankan Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM) untuk membawa bot bersama tiga pekerja resort itu ke jeti APMM di Pulau Kambing, Kuala Terengganu.
BACA: Tiga pekerja resort di Pulau Tenggol dikhuatiri hilang di laut
BACA: Pekerja resort hilang: Mangsa mungkin hanyut akibat bot rosak
Rabu lalu, Mohd Hafiz Abdul Rahim, Mohammad Firdaus Mohd Awalludin dan Fauzi Mohammad hilang dalam perjalanan ke Pulau Tenggol untuk menghantar bekalan makanan.
Mereka berlepas dari jeti di Kampung Seberang Pintasan pada jam 12.30 tengah hari, untuk perjalanan kira-kira satu jam, namun selepas tiga jam kemudian, bot yang dipandu Fauzi itu tidak tiba di pulau itu.
Pusat kawalan di Ibu Pejabat Polis Daerah kemudiannya diaktifkan dan operasi mencari dan menyelamat dilancarkan bagi mengesan mangsa.
#Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia #APMM #bot #hilang #kerosakan enjin #Kuala Terengganu #mangsa #nelayan #polis #pusat kawalan
;