Pekerja Rayani Air resah gaji tertunggak, nasib tidak menentu

Astro Awani
April 10, 2016 14:38 MYT
Situasi semasa meletakkan para pekerja rayani Air dalam keadaan tidak pasti tentang nasib mereka. - Gambar fail
Kegagalan membayar gaji pekerja dipercayai menjadi punca utama juruterbang syarikat penerbangan Rayani Air melancarkan mogok, hingga memaksa syarikat berusia 110 hari itu menggantung operasinya.
Astro AWANI difahamkan, kejadian tersebut bukan perkara baru kerana kali pertama ia berlaku hujung tahun lalu apabila pekerja syarikat itu hanya dibayar gaji lewat sebulan daripada tarikh sepatutnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air, Ravi Alagendrran juga didakwa gagal memberi penjelasan ataupun tindakan susulan yang perlu diambil kakitangan selepas mengumumkan penggantungan operasi 8 April lalu.
Tindakan berkenaan menyebabkan semua pekerja dalam situasi tidak pasti mengenai masa depan mereka bersama syarikat penerbangan tambang murah patuh syariah pertama negara itu.
"Kami tidak tahu sama ada kami masih bersama syarikat atau mempunyai pekerjaan lagi atau tidak kerana tidak langsung sebarang arahan daripada pihak pengurusan tertinggi syarikat mengenai langkah seterusnya,
"Semua yang berlaku sangat mengejutkan, tiba-tiba sahaja (penggantungan operasi). Kami langsung tidak tahu apa yang berlaku," kata sumber dalaman yang enggan dikenali.
Cubaan Astro AWANI menghubungi Ravi untuk mengesahkan berhubung kelewatan pembayaran gaji pekerja bagaimanapun tidak berjaya.
Pujuk juruterbang
Tindakan Rayani Air menggantung operasinya dibuat selepas pihak pengurusan gagal meyakinkan pekerja bahawa gaji mereka akan dibayar sebaik mendapat pelabur baharu.
Dalam imej paparan skrin aplikasi WhatsApp yang tersebar, Ravi dilihat cuba memujuk juruterbangnya untuk melakukan penerbangan agar gaji 485 kakitangannya dapat dibayar.
Mesej itu dipercayai dihantar sehari sebelum juruterbang melancarkan mogok Jumaat lalu.
"Kapten, saya memohon demi kakitangan, tolong lakukan penerbangan kerana gaji 485 kakitangan bergantung kepada pelabur esok, jika penumpang terkandas pelabur akan menarik diri dan kakitangan akan menderita.
"Tolonglah demi kakitangan lain, lakukan penerbangan dan biar saya dapatkan pelabur dan semua orang akan dapat gaji esok.
"Saya minta maaf atas kesulitan tetapi esok adalah hari saya menyelesaikannya. Saya tidak mahu kakitangan menderita, tolonglah kapten," kata Ravi.
Salah seorang kakitangan kemudiannya mengingatkan Ravi, apa juga yang berlaku terhadap syarikat itu, mereka perlu dibayar gaji dan menegaskan ia bukan kali pertama berlaku dan mereka terpaksa berlapar.
"Kalau ada duit saya sudah bayar. Apabila saya sudah bayar gaji, jika kamu mahu berhenti, silakan, terima kasih banyak." kata Ravi.
BACA: Batal penerbangan, penumpang Rayani Air luah perasaan marah di media sosial
BACA: Rayani Air memohon maaf atas pembatalan penerbangan
BACA: Rayani Air: DCA hantar surat penggantungan operasi sementara esok - Liow
#gaji pekerja Rayani Air tertunggak #Pekerja Rayani Air #Ravi Alagendrran #Rayani Air #syarikat penerbangan tambang murah patuh syariah
;