Pekerja rasa ditindas, tidak dijaga kebajikan boleh lapor kepada JTKSM
Bernama
Februari 13, 2020 07:46 MYT
Februari 13, 2020 07:46 MYT
Mana-mana pekerja yang berasa ditindas, tidak dijaga kebajikan atau menerima gaji tidak setimpal, boleh membuat laporan mengenainya kepada pejabat Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
Pengarah Bahagian Standard Perburuhan JTKSM, Mohd Asri Abdul Wahab berkata ini kerana adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk mewujudkan persekitaran yang selesa selain menjaga kebajikan setiap warga kerjanya.
Beliau berkata mana-mana majikan yang gagal menjaga kebajikan pekerja juga boleh dikategorikan sebagai menggaji 'buruh paksa'.
"Majikan yang menggajikan pekerja asing dan tempatan ini perlu memastikan wujudnya keselesaan kepada golongan itu selepas seharian bekerja.
"Kita juga mahu mengingatkan orang awam untuk menjadi mata dan telinga JTKSM sekiranya mengetahui ada majikan yang melanggar peraturan pekerjaan. Pekerja juga boleh melaporkan sendiri jika mereka berasa ditindas dan tidak dibayar gaji yang setimpal, kepada pejabat JTK," katanya pada sidang media selepas operasi khas penguatkuasaan jabatan itu di sebuah kilang perabot di sini, pada Khamis.
Mengulas mengenai operasi khas pada Khamis, Mohd Asri berkata majikan kilang perabot di Telok Gong itu didapati melanggar Garis Panduan Standard Minimum Penyediaan Penginapan Pekerja Asing.
Katanya majikan berkenaan menyedia penginapan dalam persekitaran yang kotor, daif dan sistem perparitan tidak diselenggara yang berkemungkinan boleh menjejaskan kesihatan para pekerjanya
"Kita juga mendapati majikan di kilang ini telah melanggar beberapa elemen Undang-undang Akta Kerja 1955 berkaitan gaji pekerja. Kita akan menyiasat perkara ini degan lebih lanjut dan sekiranya didapati bersalah, kertas siasatan terhadap mereka akan dibuka," katanya.
-- BERNAMA
#Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia
#JTKSM
#kebajikan
#kebajikan pekerja
#laporan
#majikan zalim
#pekerja ditindas