Pekerja pos maut tak sempat sampai rumah
Sinar Harian
Mei 12, 2023 10:20 MYT
Mei 12, 2023 10:20 MYT
KUALA SELANGOR: Seorang pekerja pos maut ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan di Kilometer 41 Jalan Klang-Teluk Intan berdekatan Assam Jawa, di sini pada Khamis.
Kejadian jam 1 petang itu berlaku ketika lelaki berusia 24 tahun yang menunggang Yamaha 15 dipercayai menuju ke rumahnya di Taman Penggawa, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja di Pos cawangan Klang baru habis bekerja.
"Bagaimanapun, sejurus tiba di lokasi, motosikal ditunggangnya dipercayai bergesel dengan sebuah lori lalu terjatuh.
"Akibat kemalangan itu mangsa cedera teruk di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ujar beliau, mayat lelaki itu kemudiannya dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Norasyikin Roslan di talian 010-2621743 atau balai polis berdekatan," jelas Ramli. - Sinar Harian