Pekerja penyelenggara maut kepala tersepit lif

Astro Awani
Disember 26, 2023 20:57 MYT
Ahmad Rezki berkata, pihak bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 4.45 petang. - Gambar JBPM
GEORGETOWN: Seorang pekerja penyelenggaraan maut selepas kepalanya tersepit ketika menyelenggara lif di sebuah kompleks beli-belah di Jalan Burmah, Pulau Pinang pada petang Selasa.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal, Pegawai Bomba Kanan II, Ahmad Rezki Faris Ismail, mangsa, R Tinesh Kumar, 28, yang cedera parah di kepala maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi mangsa berusia 53 tahun selamat.
Katanya, ketika kejadian, mangsa bersama seorang lagi pekerja penyelenggaraan sedang membaiki lif di kompleks berkenaan.
Ahmad Rezki berkata, pihak bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 4.45 petang.
"Sebaik tiba, pihak bomba mendapati kepala seorang pekerja telah tersepit pada pintu lif manakala seorang lagi terperangkap di dalamnya.
"Pasukan Bomba dan Penyelamat berjaya membuka pintu lif dan mengeluarkan dua mangsa tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati mangsa tersepit di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.
Ahmad Rezki menjelaskan, operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.56 petang.
#KKM #operasi tamat #JBPM #cedera parah
;