Pekerja pengsan pada ketinggian 30 meter akibat renjatan elektrik

Sharom Abu Bakar
Julai 18, 2019 12:55 MYT
Anggota bomba ketika cuba menurunkan mangsa daripada sebuah menara telekomunikasi di Kampung Jenang, Marang petang tadi. - Astro AWANI
Seorang pekerja penyelengara sebuah syarikat telekomunikasi tidak sedarkan diri pada ketinggian lebih 30 meter ketika melakukan kerja penyelengaraan di sebuah menara.
Kejadian berlaku di Kampung Jenang, Marang sekitar pukul 4.30 petang Khamis.
Mangsa, Norzali Johari, 36 tahun, dikatakan pengsan kira-kira selama 20 minit di atas menara tersebut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik.
Ketika kejadian, mangsa bersama tiga lagi rakannya sedang melaksanakan tugas, tetapi apabila rakannya yang berada di bawah memanggilnya, tiada sahutan.
Bimbang dengan situasi itu, rakannya turut menaiki menara tersebut seterus menelefon pihak bomba.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Yahaya Hanafi berkata seramai sembilan kekuatan bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.
"Pihak bomba naik ke atas untuk menurunkan mangsa dan mangsa terus dihantar ke hospital.
"Saya percaya dia terkena renjatan elektrik kerana ada kesan terbakar dan kesan cair pada sarung tangannya," katanya, sambil menambah pihaknya mengambil masa 30 minit untuk menurunkan mangsa.
Difahamkan, Norzali telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.
#menara telekomunikasi #pengsan #renjatan elektrik