Pekerja pembinaan rugi lebih RM123,000 terperdaya pelaburan tidak wujud

Bernama
Ogos 27, 2024 11:45 MYT
Mohd Sohaimi berkata lelaki berusia 36 tahun itu menerima mesej menerusi WhatsApp yang menawarkan pelaburan dengan pulangan 88 peratus. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Seorang pekerja pembinaan kerugian lebih RM123,000 selepas terperdaya skim pelaburan saham dalam talian.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata lelaki berusia 36 tahun itu menerima mesej menerusi WhatsApp yang menawarkan pelaburan dengan pulangan 88 peratus.
Beliau berkata mangsa yang tertarik dengan tawaran itu telah memuat turun aplikasi 'BitBest' serta mendaftar dan mengisi maklumat peribadi sebelum melakukan sembilan transaksi pembayaran ke lima akaun berbeza pada 1 Ogos hingga Khamis lepas.
"Mangsa cuba menuntut keuntungan seperti dijanjikan dalam tempoh itu, namun suspek memberikan pelbagai alasan malah mengarahkan dia membuat bayaran tambahan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, katanya mangsa yang menyedari telah ditipu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, Sabtu lepas.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
-- BERNAMA
#pelaburan tidak wujud #Mohd Sohaimi Ishak #tipu #WhatsApp