Pekerja pembinaan maut tertimbus runtuhan konkrit

Afiezy Azaman
September 27, 2022 11:00 MYT
Anggota bomba bertindak memotong dan memecahkan besi konkrit bagi mengeluarkan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan. - Foto JBPM
KUALA LUMPUR: Seorang pekerja binaan maut selepas tertimbus dalam kejadian runtuhan konkrit di sebuah bangunan dalam pembinaan di Jalan Ampang, ibu negara.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.23 malam dan menghantar 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak dan BBP Keramat ke lokasi kejadian, pada Selasa.
Komander Operasi Kanan Penolong Penguasa Bomba (PpGB), Nurul Adha Abdul Majid berkata, runtuhan konkrit berlaku di tingkat 51 bangunan dalam pembinaan dan runtuhan itu menyebabkan seorang mangsa tertimbus.
"Anggota bomba bertindak memotong dan memecahkan besi konkrit bagi mengeluarkan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan.
"Mangsa seorang lelaki warga Bangladesh hanya berjaya dikeluarkan daripada timbunan konkrit pada jam 7.21 pagi dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Mangsa di serahkan pada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Kemalangan Kerja | Pekerja pembinaan maut tertimbus runtuhan konkrit
#pekerja binaan #runtuhan konkrit #bangunan dalam pembinaan #Nurul Adha Abdul Majid
;