Pekerja pembersihan maut, seorang lagi parah dipijak gajah di Mersing

Bernama
September 26, 2024 22:45 MYT
Seorang pekerja pembersihan kontrak maut manakala seorang lagi cedera parah akibat dipijak gajah di kawasan hutan kecil berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tenggaroh 5 hari ini. - Foto media sosial/via Sinar Harian
MERSING: Seorang pekerja pembersihan kontrak maut manakala seorang lagi cedera parah akibat dipijak gajah di kawasan hutan kecil berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tenggaroh 5 di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing DSP Sharif Shai Sharif Mondoi berkata kejadian itu dimaklumkan kepada polis berlaku pada 11 pagi ketika pekerja berkenaan bertindak menghalau haiwan liar tersebut daripada mendekati kawasan sekolah sebelum mereka diserang.
Beliau berkata Mohamad Syafik Yakob, 31, meninggal dunia akibat cedera pada leher dan dada bahagian kiri ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tenggaroh 2 manakala rakannya, Zalini Dahlan, 51, cedera di kepala, pendarahan dalam perut dan patah tulang pinggul.
"Mayat Mohamad Syafik telha dihantar ke Hospital Mersing untuk proses bedah siasat dan Zalini dirujuk ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sharif Shai berkata difahamkan oleh penduduk setempat hanya seekor anak gajah terlibat dalam kejadian serangan itu dan dipercayai haiwan tersebut terpisah daripada kumpulannya.
Sehubung itu, beliau menasihatkan orang ramai agar melaporkan masalah berkaitan haiwan liar kepada pihak berkuasa dan tidak mengambil tindakan sendiri hingga menyebabkan konflik.
Terdahulu, tular beberapa keping gambar dan hantaran di laman Facebook mengenai kejadian yang menimpa mangsa.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor Aminuddin Jamin ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya sedang menyiasat berhubung kejadian tersebut.
Berdasarkan rekod Perhilitan Johor, sejak 2020 hingga Ogos lepas sebanyak 510 aduan konflik gajah-manusia dilaporkan membabitkan enam daerah iaitu Mersing dengan 181 kes, Kluang (160), Kota Tinggi (111), Segamat (39), Batu Pahat (12) dan Johor Bahru (tujuh),
-- BERNAMA
#pekerja pembersihan #dipijak gajah #Mersing #Mohamad Syafik Yakob
;