Pekerja pembersihan main peranan penting pembangunan negeri - Ab Rauf

Bernama
Disember 9, 2024 10:45 MYT
Ab Rauf (duduk, tengah) bergambar kenangan dengan 4,000 pekerja pembersihan pada Majlis Apresiasi Pekerja Pembersihan Melaka 2024 di Melaka, malam tadi. - Gambar Instagram Ab Rauf Yusoh
MELAKA: Pekerja pembersihan menyumbang kepada pengiktirafan Bandar Raya Melaka sebagai bandar terbersih di Asia Tenggara selepas menerima anugerah ‘Clean Tourist City Standard’ (ACTC) pada Januari tahun ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, justeru mentaliti masyarakat yang menganggap karier dalam industri pembersihan sebagai pekerjaan remeh tidak lagi relevan dan perlu diubah.
"Kerajaan negeri amat memuji usaha dan pengorbanan saudara-saudari kerana karier yang dilaksanakan ini jauh lebih mulia dan Islam sendiri menuntut untuk kita menjaga kebersihan.
"Maka sewajarnya kita sama-sama menitikberatkan nilai kebersihan dalam kalangan semua lapisan masyarakat di samping sentiasa memandang tinggi kepada pekerja pembersihan yang sememangnya memikul amanah besar untuk memastikan kebersihan persekitaran negeri ini sentiasa terpelihara," katanya di sini, malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pekerja Pembersihan Melaka 2024 melibatkan kira-kira 4,000 pekerja pembersihan dari Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Majlis Perbandaran Alor Gajah, Majlis Perbandaran Jasin dan SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment).
Ketua Menteri berkata, komitmen dan kerjasama berterusan daripada pekerja pembersihan diperlukan bagi memastikan Melaka kekal bersih khususnya dalam menganjurkan pelbagai program berimpak tinggi di negeri itu.
Beliau berkata, ia termasuk penganjuran Hari Pelancongan Dunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) pada September tahun hadapan.
Majlis Apresiasi Pekerja Pembersihan Negeri Melaka menawarkan hadiah cabutan bertuah antaranya sebuah Perodua Axia, tiga motosikal dan lebih 1,400 hadiah istimewa sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada pekerja pembersihan. - BERNAMA
#pekerja pembersihan #pembangunan negeri #Clean Tourist City Standard #Ab Rauf Yusoh
;