Pekerja pembersihan didakwa rogol, amang seksual anak perempuan
Sinar Harian
November 2, 2023 16:04 MYT
November 2, 2023 16:04 MYT
KEMAMAN: Seorang pekerja pembersihan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya dalam kejadian pada September lalu.
Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 36 tahun mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 13 tahun di sebuah rumah di daerah ini kira-kira jam 8 pagi pada 29 September lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta dikenakan tidak kurang 10 sebatan.
Selain itu, tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa pada tarikh, waktu dan lokasi yang sama.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum bawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum dengan hukuman sebatan.
Sebaik pengakuan direkodkan, mahkamah memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM14,000 oleh seorang penjamin dan menetapkan 4 Disember depan bagi sebutan semula kes.
Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Mohamad Razali manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Sinar Harian