Pekerja pelantar minyak ditipu skim pinjaman tidak wujud
Noraniza Kamsani
April 16, 2020 10:57 MYT
April 16, 2020 10:57 MYT
Tindakan seorang pekerja pelantar minyak mengisi borang permohonan pinjaman secara dalam talian di laman web sebuah bank yang dipercayai palsu membawa padah apabila kerugian RM44,400.
Kejadian bermula Mac lalu apabila lelaki berusia 20 tahun itu mendakwa melayari laman web berkenaan dan mengisi maklumat peribadi kerana mahu membuat pinjaman sebanyak RM10,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa kemudian menerima pesanan WhatsApp daripada seorang wanita mendakwa diri sebagai kakitangan bank itu pada 1 April lalu.
Katanya, wanita itu memaklumkan mahu membuat semakan sebelum permohonan pinjaman mangsa dapat diteruskan.
"Suspek dikatakan meminta mangsa membuat bayaran RM2,200 ke sebuah akaun bank yang didaftarkan atas nama syarikat kononnya sebagai bayaran pendahuluan dan kos membuka akaun pinjaman.
"Selepas membuat bayaran itu, mangsa masih diminta membuat pelbagai bayaran lain yang perlu dilakukan menerusi transaksi pemindahan wang ke akaun syarikat berbeza yang diberikan suspek, menjadikan jumlah keseluruhan RM44,400," katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Khamis.
Beliau berkata, mangsa akhirnya menyedari jumlah yang dibayarnya sudah melebihi jumlah asal pinjaman dikehendakinya.
"Mangsa menghubungi suspek bagi meminta wangnya dikembalikan kerana tidak mahu meneruskan pinjaman, namun suspek enggan berbuat demikian menyebabkan dia membuat laporan polis," katanya.
Mohd Wazir berkata, laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan di sini pada Rabu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.