Pekerja pasar raya tersepit tangan dalam mesin pembancuh tepung

Adie Sufian Zulkefli
Jun 12, 2020 14:08 MYT
Mangsa mengalami kecederaan dan bengkak pada tangan kanan yang tersepit dalam kejadian di sebuah pasar raya pagi ini. Foto ihsan JBPM Perak
Seorang pekerja pasar raya di sini hampir putus tangan apabila tersepit di dalam mesin pembancuh tepung dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi ini.
Pekerja lelaki berusia 20-an itu dipercayai sedang membancuh tepung sebelum kejadian berlaku.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati mangsa dalam keadaan mengerang kesakitan.
Katanya, anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan khas ‘rescue tools’ untuk meleraikan mesin itu sebelum mengeluarkan tangan kanan mangsa yang tersepit.
Mohamadul Ehsan berkata, mangsa mengalami kecederaan dan bengkak pada tangan kanan.
Dia diberi rawatan awal oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut.
#bancuh tepung #mengerang kesakitan #mesin #Mohamadul Ehsan Mohd Zain #pasar raya #pekerja pasar raya #Pendang #peralatan khas #rescue tools #tersepit
;