Pekerja melecur, kilang besi terbakar

Afiezy Azaman
Januari 22, 2020 13:01 MYT
Lelaki warga Bangladesh yang juga pekerja kilang besi mengalami kecederaan melecur tahap satu pada bahagian bahu. - Gambar Ihsan BOMBA
Seorang pekerja kilang besi mengalami kecederaan selepas premis tersebut mengalami kebakaran di Jalan Hulu Langat, Batu 14, Selangor, pada Rabu.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.12 pagi.
"Seramai 33 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussien Onn, Kajang, Pandan dan Ampang digerakkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi, anggota mendapati kebakaran berlaku sebanyak 80 peratus pada bangunan kilang kelas B.
"Api berjaya dikawal pada pukul 4.19 pagi dan terdapat seorang lelaki warga Bangladesh mengalami kecederaan melecur tahap satu pada bahagian bahu," katanya.
Kenyataan itu turut berkata, mangsa telah dihantar ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," kata kenyataan itu lagi.
#Jalan Hulu Langat #kilang besi terbakar #pekerja melecur #Selangor
;