Pekerja maut dipercayai tersepit mesin pemampat kertas

Abd Razak Mohd Ali
April 1, 2022 20:17 MYT
Supian berkata, JKKP masih menyiasat lanjut punca sebenar kematian mangsa dalam kejadian jam 6.50 petang itu. - JKKP
IPOH: Seorang pekerja warga Bangladesh maut selepas dipercayai tersepit dalam mesin pemampat kertas di sebuah kilang pengumpulan bahan kitar semula di Menglembu, dekat sini, petang semalam.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Supian Alias berkata, pihaknya bagaimanapun masih menyiasat lanjut punca sebenar kematian mangsa dalam kejadian jam 6.50 petang itu.
Menurutnya, mangsa yang juga pekerja am berusia 34 tahun meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
“Hasil daripada siasatan awal yang telah dijalankan mendapati mangsa sedang menjalankan kerja menyusun bongkahan mampatan kertas kitar semula menggunakan forklift.
“Pada masa yang sama mangsa juga memeriksa pengoperasian mesin pemampat kertas yang sedang beroperasi secara automatik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Supian berkata, mangsa telah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran mesin pemampat tersebut dengan kecederaan parah di belakang leher oleh rakan sekerjanya.
Pihaknya juga telah mengarahkan supaya aktiviti kerja melibatkan mesin pemampat tersebut dihentikan serta merta sehingga notis dipatuhi oleh pihak majikan.
Menurutnya, JKKP juga telah mengeluarkan lima notis larangan operasi kepada majikan berkaitan mesin pemampat tersebut.
“JKKP akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” tegasnya.
#kemalangan tempat kerja #kilang kitar semula #mesin pemampat kertas #Perak
;