Pekerja Malaysia lebih gembira bekerja secara hibrid - Kajian Cisco

Astro Awani
Mei 20, 2022 18:17 MYT
Responden berkata, bekerja secara hibrid telah meningkatkan kesejahteraan kehidupan mereka di mana 82 peratus responden dapat menjimatkan wang pada tahun lepas. - Gambar hiasan/Unsplash
KUALA LUMPUR: Kajian daripada Cisco mendapati 86 peratus pekerja di Malaysia lebih gembira apabila majikan membenarkan mereka melakukan kerja dari mana-mana tempat termasuk Bekerja Dari Rumah (BDR).
Bahkan, sebanyak 60 peratus responden yang merupakan pekerja di Malaysia percaya bahawa kualiti kerja mereka bertambah baik dan 55 peratus lagi mengatakan produktiviti mereka meningkat.
Selain itu, tiga perempat daripada pekerja atau 75 peratus responden juga berpendapat tugas mereka boleh dilaksanakan dengan baik walaupun berada di jarak jauh, sama juga efisiennya ketika mereka ada di pejabat.
Kajian melibatkan 28,000 pekerja dari 27 negara termasuk lebih 1,011 responden dari Malaysia mendapati, bekerja secara hibrid telah meningkatkan kesejahteraan kehidupan mereka di mana 82 peratus responden dapat menjimatkan wang pada tahun lepas.
Menurut 86 peratus responden, penjimatan bahan api atau perjalanan ulang-alik berada di tangga teratas dari segi penjimatan, diikuti dengan penurunan perbelanjaan untuk makanan dan hiburan.
Dalam pada itu, 72 peratus responden percaya kecergasan fizikal mereka bertambah baik apabila bekerja secara jarak jauh selain bekerja secara hibrid memberi kesan positif kepada tabiat pemakanan mereka.
Manakala, 71 peratus daripada mereka berpendapat jadual kerja lebih fleksibel dan masa berulang-alik yang dikurangkan atau hampir tiada telah menyumbang kepada kehidupan yang lebih seimbang.
Kira-kira dua pertiga daripada responden dapat menjimatkan sekurang-kurangnya empat jam seminggu apabila mereka bekerja dari rumah, manakala lebih satu perempat menjimatkan lapan jam atau lebih dalam seminggu.
Sebilangan besar atau 80 peratus responden menunjukkan kerja jarak jauh meningkatkan hubungan keluarga manakala 44 peratus daripada responden melaporkan hubungan yang lebih kukuh dengan rakan-rakan.
Begitupun, hanya satu daripada lima atau 20 peratus pekerja Malaysia berpendapat bahawa syarikat mereka ‘sangat bersedia’ untuk bekerja secara hibrid di masa depan dan ia lebih rendah daripada purata global sebanyak 23 peratus.
Menurut 74 peratus bekerja di Malaysia, mereka inginkan model kerja hibrid yang menggabungkan kerja jarak jauh dan di pejabat, berbanding kerja jarak jauh sepenuhnya dan di pejabat sepenuhnya.
Sementara itu, lebih separuh (59 peratus) responden Malaysia percaya tingkah laku pengurusan mikro telah meningkat dengan bekerja secara hibrid dan jarak jauh.
Menurut mereka, pihak pengurusan kurang percaya pekerja mereka boleh bekerja secara produktif dan ini merupakan aduan yang kerap diterima.
#Bekerja Dari Rumah #WFH #hibrid #Kajian #cisco
;