Pekerja Malaysia di Singapura didakwa terpaksa tinggal bercampur jantina, tidur di MRT

Ernalisa Othman
Mac 19, 2020 14:50 MYT
Sepasang suami isteri dari Johor yang bekerja di sebuah syarikat kewangan di Singapura kecewa apabila terpaksa tinggal serumah dengan pekerja lain yang bercampur jantina, disediakan majikan mereka. - Gambar fail
Sepasang suami isteri dari Johor yang bekerja di sebuah syarikat kewangan di Singapura kecewa apabila terpaksa tinggal serumah dengan pekerja lain yang bercampur jantina, disediakan majikan mereka.
Joseph (bukan nama sebenar) serta isteri dan anak mereka berusia 8 tahun tidak selesa dengan keadaan yang menyedihkan berkenaan.
Susulan itu, mereka bertindak keluar dari penempatan berkenaan dan terpaksa menumpang di rumah rakan untuk sementara waktu.
"Memang majikan bagi tempat tinggal tetapi sebab bercampur lelaki dan perempuan jadi isteri saya sudah pasti tak selesa.
"Jadi sebab itu saya ambil keputusan untuk keluar dari tempat yang diberi majikan sebab saya dan isteri terpaksa bawa anak ke tempat kerja," katanya semasa dihubungi Astro AWANI di sini pada Khamis.
Katanya, mereka tidak mampu untuk menyewa rumah di Singapura menyebabkan terpaksa mendapatkan ihsan majikan untuk memperoleh tempat tinggal.
Namun, pasangan itu tidak menyangka terpaksa berhadapan dengan pengalaman ngeri berkenaan dan memutuskan untuk keluar dari penempatan berkenaan.
"Majikan memang dah tak boleh cakap apa. Jadi sekarang, saya dan isteri tumpang sementara di rumah rakan memandangkan semua orang pun tahu sewa di sini terlalu mahal.Kalau sewa bilik kecik sahaja mencecah ratusan," katanya lagi.
Malah menurutnya, ada majikan yang menjadikan gudang kosong sebagai penempatan rakyat Johor yang bekerja dengan mereka.
Lebih menyedihkan, ada kalangan mereka yang ditempatkan di tempat penyimpanan kotak.
Namun lain pula bagi seorang lagi pekerja pembersihan yang bekerja di Singapura, Ameline yang memberitahu, majikannya menyediakan tempat tinggal dan wang tambang perjalanan kerana hotel yang disediakan berada jauh dari tempat kerja.
Namun, dia mengakui rakannya yang lain tidak bernasib baik kerana ada antara mereka yang terpaksa tinggal di Stesen MRT Keranji.
"Syarikat saya sediakan hotel untuk tempoh dua minggu ini, dan beri duit tambang kerana lokasi hotel dan tempat kerja jauh.
"Namun memang ada rakyat Kita yang bermalam di MRT sebab mungkin syarikat mereka ini kecil serta tidak mampu memberi hotel atau rumah kedai sebagai tempat bermalam," ujarnya.
Bagi sesetengah pekerja warga Malaysia di Singapura, mereka tiada pilihan untuk bekerja kerana bimbang permit pekerjaan ditamatkan sekiranya tidak hadir bekerja untuk tempoh yang lama.
#Astro #Astro Awani #COVID-19 #majikan #MRT #rumah sewa #Singapura #Stesen MRT Keranji
;