Pekerja ladang warga India terlepas tali gantung

Bernama
Oktober 5, 2022 23:35 MYT
Ini berikutan selepas pihak pendakwaan menerima representasi S. Rajendran, 55, untuk meminda pertuduhan membunuh kepada membunuh tanpa niat. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Seorang pekerja ladang warga India terlepas tali gantung setelah Mahkamah Rayuan menggantikan hukuman mati kerana membunuh rakan sekerja pada 2018 kepada hukuman penjara 14 tahun selepas mengaku bersalah atas dakwaan membunuh tanpa niat.
Ini berikutan selepas pihak pendakwaan menerima representasi S. Rajendran, 55, untuk meminda pertuduhan membunuh kepada membunuh tanpa niat.
Panel tiga hakim terdiri daripada hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah memerintahkan Rajendran memulakan hukuman penjara mulai tarikh tangkapan pada 17 April, 2018.
Rajendran pada mulanya dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Temerloh tahun lalu selepas didapati bersalah membunuh P. Ramunaidu, seorang buruh di ladang kelapa sawit, berhampiran sebuah rumah di Simpang Kampung Awah, Jalan Maran, Marah, Pahang antara jam11.10 malam hingga 11.30 malam pada 6 April 2018.
Dalam mitigasi, peguamnya, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, berkata trend hukuman bagi kesalahan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan adalah antara 12 hingga 20 tahun.
"Kepentingan awam juga akan dilaksanakan sebaik-baiknya sekiranya perayu (Rajendran) boleh diberi peluang untuk membuka lembaran baharu dalam hidupnya dan masa yang dihabiskan perayu dalam penjara selama empat tahun lima bulan sejak tarikh dia ditangkap, telah memberikannya kesan pemulihan," katanya.
Baljit Singh berhujah bahawa anak guamnya, yang juga bekerja di ladang kelapa sawit, telah diprovokasi oleh si mati, sambil menambah bahawa Rajendran tidak mempunyai sabitan lampau dan merupakan pesalah kali pertama.
Mengikut fakta kes, Rajendran sedang tidur apabila si mati menarik kakinya menyebabkan dia terjatuh dari katil. Si mati kemudian menyerangnya dengan menampar dan memukul serta memarahinya dengan kata-kata yang menyinggung perasaan.
Rajendran merayu si mati untuk berhenti tetapi tidak diendahkan oleh si mati yang kemudiannya mengambil sebatang besi dan memukul kepala dan dada tertuduh sebelum Rajendran kemudian melawan dan secara spontan menetak si mati dengan sebilah parang.
Timbalan Pendakwa Raya, K. Mangai memohon mahkamah supaya menjatuhkan hukuman penjara antara 15 hingga 18 tahun.
-- BERNAMA
#pekerja ladang #warga india #tali gantung #S Rajendran #bunuh rakan
;